Tak jadi guna Vellfire, Kerajaan kekal guna Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan kerajaan akan terus kekal menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasminya.

Menjelaskan mengenai keputusan menggunakan Toyota Vellfire, Guan eng berkata, ketika kontrak pembekalan kenderaan diumumkan, pihaknya dimaklumkan pembekal bahawa kereta Proton Perdana tidak mencukupi, maka pilihan yang diberi dan disyorkan ialah Toyota Vellfire. 

Namun selepas itu, pihaknya dimaklumkan kereta Perdana mencukupi dan kereta Perdana dikekalkan untuk menjadi kenderaan rasmi untuk kegunaan menteri dan timbalan menteri. 

Dalam perhimpunan bulanan kementerian di Putrajaya hari ini, Guan Eng memaklumkan kontrak baharu kenderaan itu akan dimuktamadkan selepas diputuskan dalam Jawatankuasa Tender di bawah Kementerian Kewangan. 

Terdahulu sebuah media melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan yang membabitkan 32 unit Toyota Vellfire dan 3,000 unit Honda Accord. 

Ini berikutan kontrak Spanco Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian kenderaan kerajaan tamat pada 2019. 

Lim berkata, kontrak baharu itu akan dimuktamadkan secara terperinci oleh Jawatankuasa Tender dan beliau tidak terbabit. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my