Tambahan 8 Minit Waktu Subuh Terengganu Bermula 25 Januari


KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Terdapat perubahan waktu solat Subuh bagi seluruh kawasan di negeri ini bermula 25 Januari dengan tambahan lapan minit daripada waktu semasa.

Mufti Terengganu, Dato' Dr Zulkifly Muda dalam satu kenyataan semalam memberitahu, perubahan waktu solat Subuh itu dibuat setelah Jawatankuasa Fatwa Terengganu serta Jawatankuasa Takwim Hijri dan Waktu Solat bersidang bermula 14 Januari lalu.

Ujar beliau, hasil persidangan itu, kedua-dua jawatankuasa telah bersetuju untuk melaksanakan waktu solat Subuh baharu.

"Bahawa waktu solat Subuh di negeri Terengganu hendaklah ditambah lapan minit daripada waktu sedia ada berkuatkuasa 29 Jamadil Awal 1441H bersamaan 25 Januari 2020.

"Manakala waktu solat fardu yang lain tidak berubah, serta solat Subuh yang telah dilaksanakan sebelum perubahan ini adalah sah dan tidak perlu diqadha," kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, perubahan itu berlaku kerana waktu Subuh akan menggunakan parameter 18 darjah di bawah ufuk.

"Iaitu berkurang dua darjah atau 20 darjah di bawah ufuk yang digunakan sebelum ini," jelas kenyataan itu lagi.

Berdasarkan rekod, waktu solat Subuh semasa di daerah Kemaman dan Dungun adalah pada 6.01 pagi.

Manakala bagi daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada 6.02 pagi, Hulu Terengganu, 6.03 pagi, Besut dan Setiu, 6.05 pagi.



Sumber: teganukita.net