116 Diraikan Bersamamu Nelayan - Hanafiah Mat

Hanafiah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima.
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 16 Februari - Seramai 116 orang nelayan telah diraikan dalam program "Bersamamu Nelayan" yang telah diadakan di Jeti Nelayan Kampung Geliga, Cukai, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, semua nelayan tidak mengira latar belakang mahupun politik dijemput hadir bagi menerima sedikit sumbangan tersebut.

"Kita masih lagi berada di musim tengkujuh. Oleh yang demikian, kerajaan negeri komited membantu rakyat khususnya golongan nelayan sekali gus merapatkan silaturrahim serta berkasih sayang di antara satu sama lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program tersebut di sini.


Difahamkan, selepas sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, angin masih lagi kuat dan sebahagian besar nelayan masih tidak dapat turun ke laut bagi mencari rezeki.

"Terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Geliga yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program pada kali ini," tambahnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.

Sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi program ini. Setiap seorang membawa pulang sekampit beras dan barangan dapur.

Sumber: teganukita.net