598 Peserta Tanah Terkilan Terima Borang 5A - MB Terengganu

Dr. Samsuri menyerahkan borang 5A kepada salah seorang peserta.
KEMAMAN, 6 Februari - Seramai 598 peserta tanah terkilan daerah Kemaman menarik nafas lega apabila akhirnya menerima borang 5A bagi tanah-tanah yang telah dipohon sejak 20 tahun lalu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, sebanyak 561 tapak rumah dan 37 tanah pertanian peserta terkilan melibatkan 14 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh daerah tersebut berjaya diserahkan.

"Alhamdulillah, ini adalah usaha yang kita laksanakan dari daerah Besut hingga ke Kemaman dan ia masih berterusan sehingga kini.

Kerajaan negeri komited selesaikan isu tanah terkilan - Dr. Samsuri.
"Sebagaimana yang saya pernah sebut, cabaran di daerah tertentu adalah mengenal pasti tanah yang sesuai untuk diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Borang 5A bagi daerah Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Yang Dipertua  Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Tengku Bijaya Raja, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu.

Dr. Samsuri turut menyatakan, sepanjang hampir dua tahun memerintah, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan penyerahan sebahagian daripada tanah-tanah terkilan di seluruh daerah.

"Keseluruhan bilangan lot tanah terkilan yang direkodkan dalam  negeri adalah sebanyak 13,272 lot.

"Sehingga penghujung Disember tahun lalu, kita menerima sebanyak 9,153 permohonan dan berjaya menyerahkan sebahagian besar daripadanya," katanya.


Beliu juga menasihatkan para peserta yang berjaya memiliki tanah supaya memanfaatkan pemberian tersebut di samping menunaikan kewajipan kepada negeri seperti pembayaran premium dan cukai tanah.

"Pemilikan tanah merupakan satu perkara yang dekat dengan rakyat. Ia sesuatu yang sangat penting bagi kita, yang menjadi tempat berpijak, tempat meneruskan hidup kita.

"Bagi yang belum selesai, insya-Allah, kerajaan negeri akan sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan urusan tersebut.





Sumber: teganukita.net