Adakah Menyebabkan Ibu Bapa Menangis Termasuk Dosa Besar?

Posted on Saturday, February 29, 2020 | 2/29/2020



SOALAN:
Benarkah tangisan ibubapa akibat perbuatan buruk kita termasuk di dalam dosa besar? Apakah terdapat hadith berkaitan hal ini?

JAWAPAN:
Sebagai seorang anak telah menjadi satu kewajipan ke atas diri mereka untuk berlaku ihsan kepada kedua ibubapa mereka. Ini kerana, terdapat banyak dalil sama ada di dalam al-Quran ataupun hadith Nabi SAW menuntut agar sentiasa berlaku ihsan kepada kedua ibubapa. Antaranya:

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali telah sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah!" dan janganlah kamu menengking mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Isra’: 23)


Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. [Lihat: Tafsir al-Munir, 15/54]

Berdasarkan soalan di atas, kami tidak mendapati hadith yang menceritakan berkaitan tangisan ibubapa termasuk di dalam dosa-dosa besar melainkan terdapat satu athar daripada Ibn Umar R.anhuma sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad iaitu:

Daripada Abdullah bin Umar R.anhuma berkata:

بُكَاءُ الْوَالِدَيْنِ مِنَ الْعُقُوقِ وَالْكَبَائِرِ
“Tangisan ibubapa termasuk di dalam derhaka dan dosa besar.” [Lihat: al-Adab al-Mufrad (31), 1/25]

Walaupun athar ini daripada Ibn Umar R.anhuma dan bukannya daripada Nabi SAW, tetapi tangisan ibubapa kita akibat daripada perbuatan tidak baik kita merupakan satu dosa kerana ia termasuk di dalam bab menderhakai ibubapa. Ini kerana, dosa orang yang menderhakai kedua ibubapa akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari Kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” [Riwayat al-Hakim (7263)]


Penutup

Kesimpulannya, ibubapa merupakan anugerah yang istimewa buat setiap insan. Justeru itu, menjadi kewajipan setiap anak untuk menjaga kedua ibubapa mereka dan memberi khidmat yang terbaik selagi mana mereka tidak memerintahkan kita untuk melakukan maksiat kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah serta anak-anak yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tuanya sama ada semasa hayat mereka atau selepas ketiadaan mereka di dunia ini. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/29/2020

0 comments:

Loading...