'Adik tu muntah & selang berapa minit dia tarik nafas...' - Pelajar institusi perguruan meninggal dunia ketika bermain badminton

Posted on Tuesday, February 04, 2020 | 2/04/2020



Seorang pelajar semester enam institusi perguruan di sini, meninggal dunia ketika bermain badminton malam Sabtu lalu, dipercayai akibat Sindrom Koroner Akut (Acute Coronary Syndrome).

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata ia berdasarkan hasil bedah siasat Unit Forensik Hospital Jitra yang dilakukan bagi mengetahui punca kematian.

Beliau berkata, tiada sebarang kesan kecederaan yang berunsurkan jenayah ditemui sepanjang bedah siasat dilakukan.

Katanya, dalam kejadian jam 10.30 malam Sabtu lalu, mangsa, Mohd Amirul Ikromi Mohd Asri, 23, meninggal dunia ketika bermain badminton bersama rakannya di sebuah dewan di pekan Jitra, 2, dekat sini.

Mangsa yang menetap di Kampung Sungai Korok, Telaga Batu, Air Hitam, di sini dikatakan muntah dan tidak sedarkan diri ketika bermain badminton dengan rakannya.

“Pihak Hospital Jitra (Unit Kecemasan) kemudian menghubungi bilik kawalan Balai Polis Jitra dan mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.45 malam.

“Anggotanya kemudian pergi ke tempat kejadian dan hasil temubual saksi serta pemeriksaan fizikal si mati mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Jenazah mangsa juga sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhamad, 20-an, berkata dia sempat bertemu arwah pada jam 4 petang Sabtu dan turut mengajaknya bermain badminton pada sebelah malam.

“Namun, saya memberitahunya saya ada urusan lain dan kami tak sembang banyak sebelum saya pulang ke rumah sewa. Namun saya terkejut apabila seorang daripada rakan memberitahu arwah sudah meninggal dunia.

Sebelum itu, dia nampak sihat pada hari kejadian dan bersemangat hendak bermain badminton namun tidak sangka dia pergi buat selama-lamanya.” katanya.

Sementara itu juga, viral di media sosial mengenai kes kematian ini. Salah seorang saksi juga seakan tidak percaya kejadian itu berlaku di depan matanya.

“Pertama dalam sejarah berlaku depan mata. Kejadian di court badminton Chin Hin Jitra pada jam 11.00 malam. Orang jatuh dan meninggal dunia semasa main badminton tadi ni. Al-fatihah dan takziah buat keluarga adik tu. 

“Apa yang kita tahu, dia tersembam di permukaan court sebab tengok kening dan bibir terkoyak. Adik tu terus tarik dan ada paklong court sebelah buat CPR.

“Adik tu muntah dan selang berapa minit adik tu tarik nafas last dan meninggal dunia. Tak sempat ambulans sampai. Info dari rakan adik tu, dia dah main 2 jam dan keluar makan nasi sekejap dan masuk bermain semula,” tulisnya di Facebook.



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 2/04/2020

0 comments:

Loading...