Beliawanis Sejahtera Terjemahkan Hasrat Kerajaan Negeri

Posted on Friday, February 21, 2020 | 2/21/2020




Oleh : Syazwana M. Zohir
Foto oleh : Media i-MITS

KUALA TERENGGANU, 21 Februari
Beliawanis Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) disarankan berdaya saing dan kreatif dalam menyampaikan dakwah serta membantu untuk menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri Terengganu kepada rakyat di peringkat akar-umbi.

Pegawai Seranta Beliawanis Ibu Pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Nurhidayah Ali berkata, beliawanis atau remaja merupakan tenaga pelengkap yang mempunyai kemahiran tersendiri menuju negeri maju.

Beliawanis i-MITS sepatutnya  menjadi patrun kepada pemudi daripada segi kepimpinan, keilmuan, juga termasuk sahsiah yang tinggi. Antara misi beliawanis juga adalah untuk menerapkan kefahaman yang berteraskan konsep kesyumulan Islam terhadap anggota kerajaan dan rakyat Terengganu.

“Pada masa sama, kita juga merakyatkan program dan memberi fokus kepada pembinaan modal insan dan sepertimana yang kita sedia maklum bahawa membina modal insan kelas pertama sememangnya memerlukan kesabaran dan usaha yang berterusan,” katanya.

Norhidayah Ali


Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.

Justeru itu, penyelarasan gerak kerja agar lebih efisyen dan teratur menjadi fokus utama penganjuran Bengkel Pengurusan Beliawanis Sejahtera di Dewan Jamuan Tingkat 18, Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Bengkel tersebut telah dihadiri hampir 100 orang peserta dalam kalangan barisan kepimpinan beliawanis dari seluruh Terengganu yang telah diberi tanggungjawab bagi merangka dan menjalankan program-program beliawanis di DUN masing-masing.



Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md Noor dan Felo Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Noor Asyanti Abu Bakar.

Menurut Nurhidayah lagi, aspirasi kerajaan tersebut diterjemahkan melalui program dan kempen yang dijalankan oleh beliawanis.

“Kita anjurkan program hiburan dan sukan yang seiring dengan kehendak syariat. Setakat hari ini, pelbagai jenis program yang telah dibuat untuk pelbagai kumpulan sasaran anak muda meliputi bukan sahaja aspek sukan dan rekreasi bahkan aspek keilmuan.

“Untuk rekod, hampir 2000 program yang telah dijalankan oleh beliawanis di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tempoh 2019 yang lalu dan kalau boleh saya sebutkan beberapa program iaitu termasuklah senamrobik, kempen menutup aurat, kempen menjaga pergaulan, program kecantikan dan ‘hiking’ (pendakian) beliawanis,” tambah beliau.

Selain menggerakkan program untuk wanita-wanita muda, beliawanis juga perlu cakna terhadap isu kebajikan dalam kalangan wanita muda, atas dasar itulah program ziarah merupakan satu kemestian.

“Kami berharap pada tahun 2020 ini, program beliawanis lebih rancak dianjurkan dengan meliputi sasaran yang lebih menyeluruh.

“Sebolehnya luaskan lagi bulatan itu, ambil peluang untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan juga badan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik,” ujarnya.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 2/21/2020

0 comments:

Loading...