Benarkah Hutang Si Mati Menjadi Penghalang Kepada Pewarisan Harta?

Posted on Thursday, February 27, 2020 | 2/27/2020



SOALAN:
Adakah harta si mati menjadi milik waris sejurus selepas kematian atau setelah dibayarkan kesemua hutang-hutangnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا ﴿٧﴾
“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” [Surah al-Nisa’ (7)]

Juga sabda Nabi Muhammad SAW:

«أَلْحِقُوا الفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا تَرَكَتِ الفَرَائِضُ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ»
“Bahagikanlah harta warisan itu kepada orang-orang yang berhak ke atasnya, dan berikan bakinya kepada orang laki-laki yang terdekat.” [Riwayat al-Bukhari (6746), Muslim (1615)]

Berdasarkan kedua-dua dalil ini, ayat al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad SAW, dapatlah difahami bahawa harta peninggalan si mati akan dibahagikan kepada para warisnya yang berhak setelah selesai urusan pengkebumian jenazahya, pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat (sekiranya ada).

Berbalik kepada persoalan yang dilontarkan, mengenai pemilikan terhadap harta si mati. Adakah harta si mati berpindah menjadi milik waris sejurus selepas kematian si mati atau selepas dilunaskan hutang si mati terlebih dahulu. Hal ini terkait rapat dengan firman Allah SWT:

﴿مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ﴾
“(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” [Surah al-Nisa’ (11)]

Maka, di sini ulama’ ada berbeza pendapat berkenaan dengannya. Perbezaan ini terpecah kepada dua pendapat iaitu:

Pendapat Pertama: Harta warisan tidak berpindah pemilikannya kepada para waris malah ia kekal menjadi milik si mati sehinggalah dilunaskan segala hutang-hutangnya. Ini adalah pendapat yang diutarakan oleh Abu Sa’id al-Istokhri (أبو سعيد الإصطخري).

Maka, jika timbul sebarang faedah atau hasil dari hartanya, ia akan terikat dengan hak ghurama’ (orang yang berhutang) kerana jika sesuatu barang telah terjual maka perjanjian ini adalah bersama si mati bukannya bersama para waris. Oleh itu, ia tetap menjadi milik si mati.

Pendapat Kedua: Harta warisan berpindah pemilikan kepada para waris sejurus selepas kematian. Dan ini adalah pandangan yang dipegang oleh semua ulama’ mazhab Syafi’i.

Maka, jika timbul daripadanya (harta peninggalan) sebarang faedah, justeru ia tidak terikat dengan hak ghurama’. Ini kerana, menjawab kepada pendapat pertama, jika ia tetap menjadi milik si mati, maka ia bererti sesiapa (waris) yang mati sebelum dilunaskan hutangnya (si mati) tidak boleh menjadi waris kepada si mati. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 16/49]

Maka, jelaslah di sini bahawa harta peninggalan si mati akan berpindah milik kepada para waris sejurus selepas kematiannya. Lantas ia juga memberi maksud bahawa hutang si mati tidaklah menghalang berlakunya perwarisan harta. Ini dikuatkan lagi dengan kalam dari Imam al-Syirbini di dalam kitabnya:

الْأَصَحَّ أَنَّ تَعَلُّقَ الدَّيْنِ بِالتَّرِكَةِ لَا يَمْنَعُ الْإِرْثَ، وَإِنَّمَا يَمْنَعُ التَّصَرُّفَ فَتَكُونُ التَّرِكَةُ بِكَمَالِهَا كَالْمَرْهُونَةِ بِالدَّيْنِ وَإِنْ قَلَّ
“Yang sahih di sisi mazhab Syafi’i bahawasanya hutang yang terikat dengan harta peninggalan si mati tidak menghalang berlakunya perwarisan, namun ia menghalang dari sudut membelanjakan, maka jadilah ia (harta peninggalan) kesemuanya seolah-oleh cagaran atau barang gadaian dengan hutang walaupun ia sedikit.” [Lihat: Mughni al-Muhtaj; 4/8, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/347-348]

Melalui kalam ini, dapat difahami, bahawa walaupun hutang si mati tidak menghalang perwarisan, akan tetapi, para waris tidak boleh membelanjakannya atau mengambil manfaat daripadanya selagimana hutang belum dijelaskan. Sehubungan dengan itu, ia diibaratkan seolah-olah barang gadaian.

Penutup

Kesimpulannya, apabila meninggalnya seseorang, harta peninggalannya berpindah kepada waris sejurus selepas kematiannya, dan hutang si mati tidak menjejaskan ataupun menghalang daripada berlakunya perwarisan harta. Namun, ia menghalang daripada dibelanjakan atau digunakan oleh para waris dan diibaratkan seperti barang gadaian.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman dalam memahami agama-Nya, menetapkan keimanan kita dan memberkati segala amal perbuatan kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/27/2020

0 comments:

Loading...