'Dia terlepas pahanan & anak panah terus tuju ke kepala mangsa'


Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Gurun dekat sini mengalami pengalaman mengerikan apabila sebatang anak panah tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga dalam kejadian petang semalam.

Pelajar Tingkatan 4 sekolah itu tertusuk anak panah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya ketika menjalani latihan memanah di padang sekolah sekitar pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata pelajar itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, dan pihak hospital berjaya mengeluarkan anak panah tersebut daripada matanya.

"Doktor turut mengesahkan bahawa anak panah itu tidak mengenai bahagian bola mata dan hanya mengenai bahagian saraf sebelah mata kiri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa pelajar itu bersama tiga rakannya yang terdiri daripada dua pelajar perempuan Tingkatan 4 dan seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 sedang menjalani latihan memanah sebagai persiapan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK).

"Terdapat dua sasaran (target) iaitu dengan kedudukan jarak 70 meter dan lima meter manakala jarak pemanah antara dua sasaran terbabit hanya lebih kurang tiga meter.

"Pelajar perempuan terbabit sedang membuat panahan pemanas badan pada sasaran lima meter manakala mangsa dan dua rakan lagi berlatih memanah pada sasaran 70 meter. 

"Pelajar perempuan itu sedang memegang pemanah sebelum melihat mangsa melintas di hadapannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dia dikatakan terlepas panahan dan anak panah terus menuju ke arah kepala mangsa dan mengenai pada mata kiri mangsa serta tembus hingga ke telinga.

Menurut saksi dikatakan ketika kejadian tiada pemantauan daripada guru dan pelajar terbabit mendakwa mengambil sendiri peralatan sukan memanah di stor untuk menjalani latihan memanah bagi mewakili daerah dalam pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kedah (MSSK) pada 19 Februari ini.

Katanya pelajar itu kini berada dalam keadaan stabil dan ditahan di wad hospital berkenaan untuk rawatan susula. Setakat ini kertas inkuiri polis (KEP) sudah dibuka bagi membolehkan siasatan dijalankan.



Sumber : thereporter.my