Gandingan Faiz Nasir & Sanjar Shaakhmedov mengujakan


Selain daripada penerapan corak permainan hantaran pendek dan penguasaan bola oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain ke atas pasukan Terengganu Football Club (TFC) membuatkan para penyokong teruja, kini ada satu lagi perkara yang mengujakan mereka.

Ianya adalah gandingan dua pemain tengah kreatif, Faiz Nasir dan Sanjar Shaakhmedov ketika perlawanan persahabatan bertemu dua kelab Liga Thailand, Police Tero FC dan Suphanburi FC.

Apa yang menariknya, keserasian dan kesefahaman yang ditampilkan oleh Faiz dan Sanjar bagaikan pernah bermain bersama-sama dalam satu pasukan sebelum ini padahal inilah kali pertama mereka digandingkan.

Kehadiran mereka membolehkan TFC membina serangan daripada bawah dengan lebih berkesan melalui hantaran-hantaran pendek sekaligus lebih banyak serangan dapat dilakukan ke arah gawang lawan.

Tambahan pula, Faiz mampu bermain di bahagian sayap dan ini memberikan TFC lebih pilihan ketika menyerang samada menggunakannya untuk bermain di garisan tepi (di sebelah kiri dan kanan) atau melakukan ‘cut inside’.

Rata-rata penyokong TFC memberikan pujian terhadap gandingan Faiz dan Sanjar dalam dua perlawanan tersebut disamping turut memperagakan kesefahaman bersama pemain-pemain tengah yang lain seperti Lee Tuck, Nasir Basharudin dan Azalinullah Alias.

Dan Faiz yang juga digelar Messi Ganu oleh para penyokong turut menyumbang satu gol ketika menentang Suphanburi FC sekaligus mengikat pasukan Thailand itu dengan keputusan 2-2.

Bagaimanapun, tatkala pelbagai perkara positif ditampilkan oleh TFC sepanjang kempen pramusim kali ini, masih ada beberapa aspek perlu ditingkatkan lagi dan ianya turut diakui oleh ketua jurulatih Nafuzi Zain.

Sebagai contoh, tanpa kehadiran penyerang import, Dominique Da Sylva, TFC agak bergelut untuk memburu gol walaupun mendapat suapan-suapan baik daripada bahagian tengah.

Namun mereka masih lagi mempunyai masa sekitar tiga minggu sebelum sepak mula Liga Super 2020 dan Nafuzi Zain pastinya tidak sekadar berpeluk tubuh melihatkan kelemahan tersebut. - Foxsport