Himpunan Daie : Redah Lautan Manusia, OKU Teruja Aura Penceramah

Normelisa Mohd Yadi


Oleh : Hidayah Azlin
Foto : Pok Abas

Terengganu, 9 Februari – Kekurangan diri tidak pernah mematahkan semangat dua Orang Kurang Upaya (OKU) meredah lautan manusia kerana begitu teruja dengan aura penceramah yang ditampilkan sempena Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu Sejahtera.

Normelisa Mohd Yadi, 22 salah seorang pelajar OKU dari Universiti Sultan Zainal Abidin, berkata walaupun terpaksa berkerusi roda dia tidak mahu terlepas peluang untuk meraih aura para penceramah yang julung kali bersiaran langsung di negeri ini.

"Saya jarang terlibat dengan ceramah tetapi bila peluang ini ada depan mata yang turut menyediakan pengangkutan, saya rebutlah untuk hadir.

‘’ Lagipun, Dr H. Abdul Somad pun bukan selalu  datang. Selama ini pun kita tengok di ‘Youtube’ je. Apabila tengok depan-depan ni, kita boleh ambik aura dia,’’ katanya yang menderita sakit saraf akibat demam panas ketika berusia 11 tahun.

Normelisa juga mengharapkan agar Kerajaan Terengganu meneruskan dan perbanyakkan program sebegini supaya dapat memurnikan lagi perpaduan dan kesatuan antara rakyat.

‘’Selain boleh tengok orang ramai, dapat kawan baru, ilmu baru, kita juga dapat melihat ulama’. Ia suatu rahmat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak program, malam tadi.

Menampilkan pendakwah nusantara, Ustaz Dr H. Abdul Somad dan Ustaz Azhar Idrus telah mencipta satu himpunan bersejarah buat rakyat Terengganu yang memecahkan panggung wayang.



Seorang lagi peserta istimewa OKU lelaki dari Kampung Bukit Payung juga tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk turut serta HDUNTS.

‘’ Walaupun seluruh badan saya lemah, terpaksa menggunakan  bantuan kerusi roda untuk bergerak, itu tidak menjadikan alasan untuk saya ‘ponteng’ ceramah Ust Dr H. Abdul Somad malam ini.

 ‘’ Alhamdulillah, tahniah kerajaan negeri yang berjaya menganjurkan program sehinggakan mendapat sambutan yang hangat. Kehadiran memang terbaik!,’’

‘’ Mesti buat lagi. Tampilkan para ustaz dan pencermah  yang lebih hebat dan terbaik lagi. Semoga kita terus menimba ilmu yang bermanfaat,’’ katanya.

Sumber: teganukita.net