Hukum Mengerjakan Solat Sunat Wudhu’


SOALAN:
Adakah solat sunat wudhu’ itu disyariatkan? Mohon penjelasan.

JAWAPAN:
Solat sunat wudhu’ adalah salah satu solat sunat yang disyariatkan dan tsabit sandarannya di sisi syarak berdasarkan beberapa nas dari Rasulullah SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada Bilal bin Rabah:

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَىَّ فِي الْجَنَّةِ
“Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling terbaik yang kamu lakukan di dalam Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kakimu di hadapanku di dalam syurga.”

Kemudian Bilal R.A menjawab:

مَا عَمِلْتُ عَمَلاً أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طُهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلاَّ صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ‏
“Tidaklah aku melakukan amalan yang paling baik di sisiku, aku ini tidak berwudhu’ pada waktu malam atau siang melainkan aku akan mendirikan solat dengan wudhu’ tersebut dengan kadar yang ditetapkan untuk aku solat.” [Riwayat Al-Bukhari (1149)]

Hadith di atas menjelaskan bahawa antara fadhilat mengerjakan solat sunat wudhu’ ini adalah seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Bahkan Syeikh Badruddin al-‘Aini dalam syarahan beliau ke atas hadith ini berkata: “Sesungguhnya masuknya Bilal ke dalam syurga serta memperoleh kelebihan ini adalah disebabkan perbuatan beliau yang berwudhu’ setiap kali hadas dan solat beliau setiap kali berwudhu’ sebanyak dua rakaat.” [Rujuk: Umdah Al-Qari, Al-‘Aini (7/08)]

Kenyataan beliau tersebut dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُحْسِنُ الْوُضُوءَ وَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ يُقْبِلُ بِقَلْبِهِ وَوَجْهِهِ عَلَيْهِمَا إِلاَّ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ
“Tidak ada seorang pun yang berwudhu’ kemudian dia memperelokkan wudhu’nya lalu mendirikan solat dua rakaat yang dia memfokuskan jantung hati serta wajahnya dalam mengerjakannya melainkan wajib buat dirinya itu syurga.” [Riwayat Abu Daud (906)]

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Utsman bin ‘Affan R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، لاَ يُحَدِّثُ نَفْسَهُ فِيهِمَا بِشَىْءٍ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ aku ini, kemudian dia menunaikan solat dua rakaat, yang mana dia tidak lalai di dalamnya, maka akan diampunkan dosa-dosa (kecilnya) yang terdahulu.” [Riwayat Al-Bukhari (1934)]

Imam Al-Ramli dari kalangan ulama Al-Syafi’eyyah berhujah menggunakan hadith di atas dalam menjelaskan pensyariatan solat sunat wudhu’ dengan kata beliau: “Disunatkan dua rakaat untuk wudhu’, dengan cara seseorang itu melaksanakan solat sesudah berwudhu’ dengan diniatkan sebagai solat sunat.” [Rujuk: Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48)]

Berkenaan dengan isu waktu perlaksanaan solat wudhu’ ini, sebahagian ulama' menyatakan bahawa ia dilakukan secara terus sebaik sahaja seseorang itu selesai berwudhu’. Sebahagian ulama' menyatakan bahawa afdhalnya ia dilakukan selepas sahaja mengambil wudhu’. Manakala sebahagian yang lain mengulas berkenaan bilakah terluputnya perlaksanaan solat wudhu’. Syeikh Al-Nasyiri mengatakan bahawa solat sunat wudhu’ terluput apabila telah berlalunya tempoh yang panjang (tanpa melaksanakannya). Manakala sebahagian lain menyatakan waktunya tamat sekiranya seseorang itu meninggalkan perlaksanaannya. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa solat sunat wudhu’ ini tidak terluput sehinggalah seseorang itu berhadas dan kami lebih cenderung kepada pendapat ini memandangkan keadaan diri seseorang yang masih berada dalam keadaan berwudhu’.

Meskipun begitu, perlu juga dijelaskan bahawa solat sunat wudhu’ ini terhasil sekiranya seseorang itu mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih. Kerana itu Imam Al-Ramli berkata: “Dan kedua rakaat ini (solat wudhu’) terhasil dengan solat fardhu atau solat sunat yang lain sebanyak dua rakaat atau lebih sama seperti dua rakaat tahiyyatul masjid.” [Rujuk: Syarah Zubad, Al-Ramli (Hlm. 48)]

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum menunaikan solat dua rakaat sesudah wudhu’ adalah sunat dan tsabit pensyariatannya berdasarkan nas yang telah kami sebutkan dan afdhalnya ia dilakukan sebaik sahaja seseorang itu selesai berwudhu’. Perlu juga dijelaskan bahawa sekiranya seseorang yang baru lepas mengambil wudhu’ masuk ke dalam masjid, lalu dia mendirikan solat fardhu zohor sebagai contoh, atau sunat tahiyyatul masjid dan juga solat sunat rawatib qabliyyah, maka kesemuanya itu telah memadai ke atas dua rakaat wudhu’.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media