Hukum Menggosok Anggota Badan (الدَّلك) Ketika Berwudhu’ Dan Mandi Junub

Posted on Monday, February 17, 2020 | 2/17/2020



SOALAN:
Sahkah wudhu’ sekiranya seseorang itu hanya melalukan sahaja air ke bahagian tangan dan kaki tanpa menggosok anggota wudhu’ tersebut? Bagaimanakah pula dengan mandi wajib?

JAWAPAN:
Berwudhu’ merupakan salah satu dari syarat sah solat dan hukumnya adalah wajib. Ini seperti yang disebutkan menerusi firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka-muka kamu serta tangan-tangan kamu sehingga ke bahagian siku. Dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke bahagian buku lali.” [Surah Al-Ma’idah (6)]

Ayat di atas ini menjelaskan beberapa anggota yang wajib dibasuh dan disapu dalam wudhu’. Iaitu muka, kedua tangan sehingga ke siku, kepala, serta kaki sehingga ke buku lali. Dua lagi perkara fardhu dalam wudhu’ adalah niat dan juga tertib.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama' fekah berkenaan hukum menggosok anggota wudhu’ setelah dikenakan air padanya. Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud: Melalukan tangan kepada anggota. [Rujuk: Mu’jam Maqayis al-Lughah, Ibn Faris (2/297)]

Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wudhu’ untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwudhu’. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwudhu’ beliau berkata:

وَأَنْ يُدَلِّكَ الْأَعْضَاءَ
“Dan seseorang itu menggosok anggota wudhu’.” [Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (1/465)]

Begitu juga dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji (1/59) menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wudhu’ adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya. Para penulis kitab berhujah menggunakan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَقُولُ هَكَذَا يَدْلُكُ
“Sesungguhnya Nabi SAW berwudhu’ kemudian baginda melakukan begini, iaitu baginda menggosok (anggota wudhu’).” [Riwayat Ahmad (16441)]

Keadaan ini juga sama dalam isu mandi junub. Ini kerana, Imam Al-Syafi’e dalam isu perkara-perkara sunat ke atas mereka yang mandi wajib berkata:

وَأُحِبُّ لَهُ أَنْ يُدَلِّكَ مَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْ جَسَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ وَأَتَى الْمَاءُ عَلَى جَسَدِهِ أَجْزَأَهُ
“Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi.” [Rujuk: Al-Umm, Al-Syafi’e (1/57)]

Seperti yang kita ketahui, wudhu’ dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut keduanya mengangkat hadas. Wudhu’ mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar. Justeru, keadaannya adalah sama dari sudut selama mana seseorang itu mengenakan air sahaja kepada anggota badan dan tidak menggosoknya, maka yang demikian itu telah memadai dan mencukupi.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum menggosok anggota wudhu’ setelah mengenakan air ke anggota wudhu’ adalah sunat. Justeru, sekiranya seseorang yang berwudhu’ sekadar mengenakan air kepada anggota wudhu’nya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wudhu’nya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.

Meskipun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wudhu’ atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wudhu’ atau badan tersebut adalah wajib.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/17/2020

0 comments:

Loading...