Jong Hyun Cemerlang Bawa THT Ke 'Final'

Jong Hyun (kiri) meleburkan hajat TNB.

KUALA LUMPUR, 20 Februari - Pakar pukulan sudut penalti, Jang Jong Hyun, muncul wira Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam pertemuan menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam apabila meledak hatrik untuk memastikan kemaraan ke pentas akhir Piala TNB.

THT yang turun dengan misi mempertahan kejuaraan musim lalu bagaimanapun terpaksa berkerja keras sebelum berjaya membenam kebangkitan TNB dengan keputusan 4-3.

Segala-galanya tampak mudah buat THT apabila skuad Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu mula meledak gol menerusi Jong Hyun pada minit ketujuh melalui pukulan sudut penalti.

Jong Hyun terus mengganas apabila menyempurnakan hatriknya dalam perlawanan itu selepas menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-27 dan 28 untuk THT selesa 3-0 di hadapan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, anak buah Nor Saiful Zaini seakan mendapat tonik baharu apabila bangkit merapatkan jurang pada minit ke-33 menerusi Muhammad Azrai Abd Kamal dan Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-35 untuk kedudukan 3-2.

Perlawanan terus berlangsung rancak dengan aksi berbalas serangan disajikan kedua-dua pasukan.
Fitri (tengah) mahu rakan-rakan kekal fokus menghadapi UniKL.
Namun, THT lebih bernasib baik apabila berjaya menambah satu lagi jaringan pada minit ke-37 menerusi Luqman Nul Hakim hasil gerakan menarik dari tengah padang.

Berbaki 20 minit permainan, TNB masih belum mahu mengaku kalah apabila terus bersemangat melancarkan serangan kilat ke kubu THT.

Usaha itu ternyata berbaloi selepas TNB berjaya menjaringkan gol melalui Aminuddin Mohd Zain untuk kedudukan menjadi 4-3.

Bagaimanapun THT terus kebal bertahan bagi mengekalkan keputusan 4-3 sehingga tamat masa perlawanan sekali gus menyaksikan Terengganu melangkah peringkat akhir berdepan UniKL, Sabtu ini.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Dhaarma memuji semangat dan kebijaksanaan anak-anak buahnya memanfaatkan setiap peluang terhidang.

"Tetapi kebangkitan yang dipamerkan TNB di separuh masa kedua sedikit mendebarkan kita, namun pertahanan kita berjaya mempertahankan gawang gol daripada dibolosi untuk mengecewakan mereka," katanya.

Sementara itu, kapten THT, Fitri Saari mahu rakan sepasukannya belajar dan bangkit daripada kesilapan sebelum bertemu UniKL 22 Februari ini.

"Apabila kita dah 'lead' tiga kosong, tiba-tiba permainan kita sedikit terjejas sehingga bolos dua gol berturut-turut, itu perlu kita perbaiki sebelum Sabtu ini," katanya.



Sumber: teganukita.net