Kasih ayah hingga hujung nyawa, warga emas meninggal dunia ketika temani anak hadir interview


Seorang warga emas ditemui meninggal dunia dalam kereta di tempat parkir hadapan Wisma Persekutuan di Alor Setar, semalam. Dalam kejadian pada 10.30 pagi, Mustafa Ariffin, 60-an ditemui tidak sedarkan diri di tempat duduk penumpang hadapan pemandu kereta oleh orang awam selepas mangsa dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketika itu, dia seorang diri di dalam kereta kereta manakala isterinya menemani anak mereka menghadiri temu duga di tingkat atas bangunan kerajaan itu.

Sepupu mangsa, Mohd Ali Ahmad, 55, berkata walaupun mangsa demam sejak tiga hari lalu, dia sanggup menemani anak bongsunya menghadiri temu duga. Mohd Ali berkata, sepupunya tidak pernah mengadu sakit sebelum ini, malah dia sentiasa kelihatan sihat.

Katanya, dia terkejut apabila dihubungi anak mangsa yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia.

“Saya bergegas ke sini dan mendapati jenazah mangsa masih dalam kereta.

“Mereka menetap di Kampung Teloi, Kuala Ketil bertolak ke sini pagi tadi dan kereta berkenaan dipandu anak mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Ali berkata, hubungan dia dan sepupunya sangat rapat dan kali terakhir mereka bertemu Disember lalu ketika majlis perkahwinan anaknya. Katanya, ketika itu arwah banyak bergurau dan kelihatan ceria.

“Apa pun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my