Kerajaan Negeri Cakna Peningkatan Kes Bayi Istimewa



Oleh : Syazwana M. Zohir

KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang isu pertambahan kelahiran bayi dengan kecacatan pada fungsi otak di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata  dalam konteks kesihatan prenatal, kerajaan negeri  sememangnya memandang serius akan pertambahan kelahiran cacat fungsi otak dalam kalangan bayi seperti ‘cerebral palsy’, ‘down-syndrome’, ‘autism’ dan sebagainya.

“Penjagaan awal dan rapi amat penting bagi mereka. Sebilangan ibu bapa yang menjaga anak-anak kelainan upaya seperti ini mengalami pelbagai konflik terutamanya dari aspek kewangan dan begitu juga emosi.

“Sokongan yang berterusan harus kita berikan bagi membantu mereka untuk membesarkan anak-anak syurga ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Klinik Tihani, sebuah klinik rawatan khusus untuk ibu hamil di Panji Curve Business Park, di sini semalam.



Zuraida turut mengingatkan para pengusaha institusi kesihatan diluar sana bahawa di samping menyediakan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, sektor perniagaan kesihatan begini mestilah menilai jurang perbezaan antara golongan bandar dan luar bandar, kaya dan miskin.

Katanya, hal ini bagi menjamin kesaksamaan yang bukan sahaja daripada skop dan jenis perkhidmatan bahkan juga dari segi kualitinya.

“Kerajaan berusaha memberi kesedaran penjagaan kesihatan dengan memberikan khidmat pemeriksaan percuma bagi ujian ‘pap-smear’ sebagai contoh, di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Usaha-usaha sebegini elok juga dibuat oleh sektor swasta bagi merancakkan kesedaran terhadap kesihatan diri," tambahnya.

Sumber: teganukita.net