Kerajaan Negeri Rancang Pakej Pelancongan Daerah Marang

Ustaz Ariffin (berbaju kuning ) melepaskan itek untuk program menangkap itik Sempena Festival Pecah Panggong Dataran Batu Putih Marang.
MARANG,  8 Februari - Kerajaan negeri merancang mengadakan pakej pelancongan khusus mengenai daerah Marang termasuk Dataran Batu Putih. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata beliau agak teruja dengan Dataran Batu Putih  kerana yang menghidupkannya adalah masyarakat kampung dibantu oleh Pejabat Daerah Marang di bawah pegawainya, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. 

Katanya, Jabatan Pelancongan Negeri  sentiasa memberikan sokongan untuk memajukan, industri pelancongan di negeri ini. 

"Tahun lepas saya datang ke sini,  naik bot lalu ikut dataran ini,  tidak ada apa-apa aktiviti yang dilakukan. 
Ustaz Ariffin Deraman. 

"Lepas itu mereka merancang projek yang seumpama hari ini,  lalu saya lalu sekali tengok,  tidak apa juga cuma ada sikit-sikit sahaja. 

"Hari ini,  hari Jumaat sehingga Sabtu (7 Februari hingga hari ini)  pelbagai program yang sangat menarik diadakan di sini, " jelasnya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Pecah Panggong Dataran Batu Putih di sini semalam. 

Yang menarik katanya,  di dataran tersebut terdapat floating market (pasar terapung)  dihasil bersama program pelancongan lain.

Suasana di Dataran Batu Putih tenang dan aman.

Ini termasuk produk makanan tradisional seperti Lokan Bakar,  Labu Feringgi Masak,  Air Tuak Kelapa Matang,  Manisan dan Pengat Pisang. 

Di samping itu, terdapat juga pertandingan menangkap itik,  pasar terapung dan lain-lain. 

"Saya yakin Dataran Batu Putih akan mendapat sambutan yang lebih baik di masa akan datang," ujarnya. 

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Jabatan Pelancongan Negeri dan Pejabat Daerah Marang bekerjasama dan ada cara tersendiri mempromosikan produk pelancongan daerah itu. 

 "Exco pelancongan ada kaedah promosi di peringkat negeri secara menyeluruh khususnya Dataran Batu Putih. 

"Kita (kerajaan negeri)  bercadang adakan program bulanan,  seperti program macam hari ini setiap bulan di peringkat awal,  maksudnya,  apabila orang sudah kenal Dataran Batu Putih mereka akan datang dengan sendirinya," jelas beliau.


Sumber: teganukita.net