Kerajaan Negeri, Yayasan PETRONAS Rai Golongan Cina Kurang Berkemampuan

Ribuan masyarakat Cina berkumpul bersama kepimpinan negeri dan PETRONAS dalam Sentuhan Kasih.
KEMAMAN, 6 Februari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada 400 penduduk kurang berkemampuan di sekitar Kemaman.

Sumbangan angpau bernilai RM200 dan hamper makanan itu disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Dato' Wan Mohd Hasnan Abdullah dalam Majlis Sentuhan Kasih di Dewan Komuniti Cina Kemaman, semalam.

Menurut Wan Mohd Hasnan, sumbangan tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan pihaknya dalam meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

"Ia juga merupakan satu usaha PETRONAS dan kakitangannya mendekati masyarakat setempat.

Dato' Wan Mohd Hasnan.
"Tahun ini, seramai 1,500 golongan kurang bernasib baik diraikan di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan kakitangan PETRONAS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Kasih sempena sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Terengganu itu, semalam.

Beliau turut merakamkan rasa terima kasih atas kerjasama kerajaan negeri dalam membantu menyantuni masyarakat setempat.

"Sejak 2005, PETRONAS telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial (CSR) untuk menyumbang kesejahteraan masyarakat di negara ini.

"Sentuhan Kasih telah diadakan setiap kali perayaan utama di Malaysia," katanya.

Yayasan PETRONAS sebagai cabang CSR syarikat berhasrat untuk  menghasilkan kesan lestari,  meningkatkan kualiti hidup dan taraf sosioekonomi masyarakat menerusi bidang tumpuannya iaitu pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat serta pemuliharaan alam sekitar.

Dr. Samsuri beramah mesra bersama salah seorang wakil persatuan Tionghua di Kemaman.




Sumber: teganukita.net