Kerapuhan Institusi Keluarga Penyumbang Penyalahgunaan Dadah

Posted on Thursday, February 27, 2020 | 2/27/2020


Dr Alias Razak merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kuala Terengganu Kali Pertama di Pejabat Daerah Kuala Terengganu
Oleh: Safwan Syakir

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, antaranya masalah keretakan rumah tangga yang menjadi faktor penyumbang terhadap penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda masa kini selain terpengaruh dengan rakan sebaya.

"Ibu bapa lazimnya menjadi tempat untuk anak-anak mengadu masalah yang dihadapi mereka, namun kurangnya perhatian dan kasih sayang di rumah mengakibatkan mereka lebih cenderung untuk meluah segala permasalahan kepada orang yang salah pertimbangannya," ujarnya.

Katanya, penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.


Ujarnya lagi, mereka yang terjebak dengan dadah berisiko lemah daya tahan dan kerosakan mental yang boleh mengancam intitusi keluarga mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Kuala Terengganu Kali Pertama di Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali.

Tambah beliau, antara faktor lain yang turut menyumbang gejala tersebut ialah ibu bapa meletakkan seratus peratus tanggungjawab mendidik anak mereka hanya pada bahu pihak sekolah.

“Walhal cara didikan yang betul adalah bermula daripada suri teladan baik yang dipamerkan oleh kedua ibu bapa agar ia dapat diteladani anak masing-masing,’’ katanya.


Selain itu, Dr. Alias memperbetulkan salah tanggap ibu bapa mengenai ukuran kejayaan anak-anak bukanlah melalui pencapaian akademik semata-mata tetapi ianya mestilah seiring dengan penguasaan ilmu pengetahuan dalam pendidikan agama.

"Hal ini terbukti apabila kajian yang dijalankan mendapati peratusan pelajar yang menunaikan solat masih pada tahap mendukacitakan. Inilah perkara yang lebih membimbangkan kita kerana solat adalah benteng kepada segala perbuatan keji dan mungkar," jelasnya.

Justeru, beliau turut menasihatkan ibu bapa dan masyarakat agar bekerjasama dalam menangani isu dadah.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 2/27/2020

0 comments:

Loading...