Lee Tuck luah keinginannya...

Posted on Wednesday, February 26, 2020 | 2/26/2020



KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui 'panas’ dan tidak senang duduk selepas mengetahui pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi sah bergelar pemain naturalisasi Malaysia.

Pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu menyatakan dia begitu teruja untuk mengikut jejak pemain tengah Johor Darul Tazim (JDT) berkenaan menyarung jersi skuad kebangsaan andai semua syarat yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lengkap sepenuhnya.

Pada 3 Februari lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Liridon sudah mendapat kerakyatan Malaysia melalui penaturalisasian selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya sekali gus menjadi pemain naturalisasi kedua Harimau Malaya selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang mendapat status itu pada 2018.

“Selepas mendapat perkhabaran Liridon menjadi pemain naturalisasi kedua Malaysia, saya begitu gembira dan ucap tahniah kepadanya kerana berjaya menjadi pemain naturalisasi.

“Jika ditanya, ya saya masih berminat untuk menjadi pemain naturalisasi di Malaysia dan berharap ianya menjadi kenyataan pada satu hari nanti selepas semua dokumen dan syarat lengkap.

“Buat Liridon, ini peluang yang baik untuknya, namun dia perlu bekerja lebih keras memberikan yang aksi terbaik untuk Malaysia kerana sudah pasti harapan besar disandarkan kepadanya, tapi saya yakin dia mampu lakukan yang terbaik,” ujar Tuck.

Pemain berusia 32 tahun itu mula beraksi dalam kancah bola sepak tempatan dengan mewakili Negeri Sembilan pada 2017 selama semusim sebelum menyertai Terengganu bermula 2018 hingga kini.

Peluang Tuck untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia dijangka tidak berdepan banyak masalah kerana memiliki pertalian darah kerana dikhabarkan neneknya berasal dari Malaysia.

Namun jika pemain tengah itu gagal mengemukakan bukti pertalian itu, pemain yang pernah menyarung jersi kelab Bangkok FC dan Nakhon Ratchasima di Thailand, perlu menunggu sehingga 2022 sebelum cukup tempoh lima tahun berturut-turut beraksi di Malaysia sebelum layak menjadi pemain naturalisasi.

Ketika ditanya persiapan pasukan TFC, Tuck akui berjalan dengan lancar sebelum 'berperang’ dengan Perak pada Sabtu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

“Persiapan pramusim berjalan dengan lancar setakat ini dan permainan kami semakin meningkat dari minggu ke minggu kerana sedar berdepan pasukan yang kuat bermula liga iaitu Perak diikuti Kedah dan Selangor, jadi amat penting buat kami membuat persediaan rapi menjelang perlawanan pertama itu pada 29 Februari ini,” ujar Tuck.

Selain Tuck, beberapa pemain kacukan lain sudah mewakili negara sebelum ini seperti Matthew Davies, Natxo Insa, Kiko Insa, Brendan Gan, Junior Eldstal dan Darren Lok.

Namun, sehingga kini keputusan sama ada pemain itu bakal mengikut jejak pemain terdahulu yang sudah menjadi pemain tempatan masih menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat sukan bola sepak khususnya di Terengganu. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/26/2020

0 comments:

Loading...