Nafuzi puas hati, peluang buat semua pemain

Posted on Saturday, February 22, 2020 | 2/22/2020



KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui puas hati dengan persembahan penyerangnya, Darren Lok.

Baginya pemain Harimau Malaya itu mampu membantu menajamkan lagi jentera serangan pasukannya dan dia dijangka bakal bergandingan dengan pemain import dari Mauritania, Dominique da Slyva.

Pemain berdarah campuran Malaysia-England yang sebelum ini beraksi dengan pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu adalah pemain terakhir dirantai TFC musim ini bagi melengkapkan senarai 27 pemain skuad Penyu.

"Saya puas hati dengan persembahan pemain itu (Darren), jika dia berjaya beraksi lebih baik daripada pemain lain, tidak mustahil dia akan bermain dalam kesebelasan utama pasukan.

"Selain Darren, semua pemain juga saya turut berpuas hati, bagi saya peluang pemain sama rata tidak kira muda atau senior untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Jika kami puas hati dengan prestasi mereka, kita akan senarai dalam kesebelasan utama," kata jurulatih muda meningkat naik itu yang pernah membantu skuad Terengganu menjulang Piala Malaysia kali pertama pada 2001.

Musim ini TFC membariskan lima pemain muda termasuk penjaga gol utama skuad Piala Belia Terengganu musim lalu, Rahadiazli Rahalim di samping pemain meningkat naik, Muslihuddin Atiq Mat Zaid, Azam Azmi Murad, Hairiey Hakim Mamat dan Syafik Ismail.

Naib juara Piala Malaysia 2018 itu juga turut membariskan pemain berdarah campuran Malaysia-England, Stuart Wark yang beraksi di posisi pertahanan selain mengikat bekas kapten Perak, Nasir Basharuddin dan bekas pemain tengah Selangor yang pernah menyarung jersi TFC pada 2018, Faiz Nasir.

Malam ini skuad yang turut mendapat sentuhan bekas legenda Terengganu, Subri Sulong dan Rosdi Talib yang pernah memakai lilitan kapten skuad kebangsaan, bakal menguji pendatang baharu Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di Gong Badak.

Bagaimanapun perlawanan itu diadakan secara tertutup sebagaimana pertemuan dengan Pahang Selasa lalu yang berkesudahan TFC menang 4-1 hasil jaringan hatrik Dominique manakala satu gol lagi nenerusi pemain import kelahiran Singapura, Faris Ramli. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/22/2020

0 comments:

Loading...