Pantau Pemakanan Kanak-Kanak - AP Setiu

Shaharizukirnain.

Oleh : Muhammad A Rahman

SETIU, 15 Februari - Pengambilan makanan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, ini kerana ia akan memberi kesan kepada proses pertumbuhan kanak-kanak melibatkan kecekapan berfikir dan perkembangan otot.

Jelasnya, kajian Nutrisi Kanak-Kanak Malaysia (SEANUTS) mencatatkan kanak-kanak dalam satu daripada tiga keluarga di Malaysia mengalami kekurangan zat penting seperti Vitamin C dan Kalsium

"Perkara ini membuktikan bahawa Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan yang disediakan sejak dua dekad lalu masih belum dapat menangani masalah ini," ujar beliau dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Mengulas lanjut, beliau juga meminta agar kerajaan menambah baik prosedur program itu supaya isu berkenaan dapat diselesaikan.

"Ibu bapa juga mestilah menyedari kepentingan pengambilan makanan sihat dan menjaga pemakanan anak-anak terutama dibawah umur enam tahun.

"Ia juga penting supaya generasi anak bangsa yang sihat dan cerdas dapat dibina dengan baik," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net