Pesaka Cadang Perluaskan Aktiviti Seni Silat Ke Sekolah- Sekolah Di Terengganu


KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Terengganu merancang untuk memperluaskan aktiviti seni silat ke sekolah –sekolah di bawah kerajaan negeri.

Pengerusinya, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia boleh dijadikan salah satu kokurikulum di sekolah-sekolah terbabit.

"Mereka nanti bukan sahaja belajar akademik, al-Quran dan seumpamanya tapi juga mempelajari silat ilmu mempertahan diri," jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis Penutupan Karnival Silat dan Kebudayaan di Pantai Batu Buruk, semalam.


Turut hadir,  Setiausaha Agung Pesaka Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar dan guru silat berbagai perguruan silat di Terengganu.

Menurutnya, pelbagai program telah diadakan dan badan-badan silat memainkan peranan  masing-masing bukan sahaja dari segi perancangan tetapi dalam pengisiannya.

“Selain nak memperkenalkan silat kepada masyarakat kita juga mengadakan program motivasi yang kita nak tunjukkan bahawa seni budaya silat kita ini sangat tinggi nilai murninya," ujar beliau.

Dato' Yahaya menambah, mana-mana program yang besar berbentuk saperti Karnival Seni Silat ini hendaklah menjadi sebahagian daripada 'event' untuk melengkapkan program pelancongan.


“Kita juga merancang untuk membuka pendaftaran kepada orang yang berminat untuk terlibat dalam seni silat ini. Mereka boleh  membuat pendaftaran dan  kita akan hubungi mereka (selepas itu),” katanya.

Justeru itu, beliau berharap program silat seumpama ini dapat memupuk ukhuwah dan memperkuat hubungan persaudaraan yang sedia terjalin.

“Kita berharapkan pada masa-masa akan datang, kita boleh membuatnya dengan cara lebih teratur lagi,” tambah Dato’ Yahaya.

Sumber: teganukita.net