Sahabat Nabi SAW Yang Paling Akhir Meninggal Dunia

Posted on Sunday, February 23, 2020 | 2/23/2020



SOALAN:
Siapakah sahabat Nabi SAW yang paling akhir meninggal dunia?

JAWAPAN:
Sahabat adalah merupakan generasi terbaik yang pernah ada di dalam sejarah Islam. Mereka merupakan generasi yang terawal memeluk Islam dan membantu penyebaran Islam ke seluruh alam. Kemuliaan para sahabat disebutkan sendiri oleh Nabi SAW. Baginda bersabda:

خَيْرُ أُمَّتِى الْقَرْنُ الَّذِينَ يَلُونِى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَجِىءُ قَوْمٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ وَيَمِينُهُ شَهَادَتَهُ
“Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).” [Riwayat Muslim (6632)]


Bahkan Allah SWT meredhai mereka dan ianya dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Firman Allah:

وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
“Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ansar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah Al-Taubah: 100)


Al-Syaukani menyebut bahawa Allah redha terhadap amalan ketaatan yang ikhlas yang dilakukan oleh mereka. Dan mereka juga redha terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah terhadap yang tidak terlintas di sanubari mereka dan tidak terfikir oleh akal. Redha daripada Allah merupakan darjat yang tertinggi dan merupakan kemuliaan yang teragung. (Rujuk: Fath Al-Qadir Al-Jami Baina Fannai Al-Riwayah Wa Al-Dirayah Fi Ilm Al-Tafsir, 2/386)

Oleh kerana itu, tidak boleh sewenang-wenangnya mencela atau mencaci apatah lagi memaki para sahabat. Nabi SAW pernah memberikan peringatan supaya jangan mencela para sahabat Baginda. Nabi SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
“Jangan kalian mencela para sahabatku. Jika salah seorang dari kalian menginfaqkan emas sebanyak bukit Uhud, ia tidak akan capai segantang infaq yang dilakukan oleh para sahabat. Bahkan tidak sampai separuh pun.” [Riwayat Al-Bukhari (3673) dan Muslim (6651)]


Imam Al-Nawawi menukilkan pandangan Al-Qadhi Iyadh bahawa para sahabat melebihi orang-orang yang datang selepas mereka. Ini disebabkan apa yang mereka infaqkan adalah ketika waktu darurat dan ketika kesempitan. Kesemuanya adalah semata-mata untuk membantu, menyokong dan melindungi Nabi SAW. (Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 8/92)

Nabi SAW pernah memberikan isyarat berkenaan tempoh masa generasi sahabat. Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar. Beliau berkata:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ صَلَاةَ الْعِشَاءِ فِي آخِرِ حَيَاتِهِ فَلَمَّا سَلَّمَ قَامَ فَقَالَ أَرَأَيْتَكُمْ لَيْلَتَكُمْ هَذِهِ فَإِنَّ عَلَى رَأْسِ مِائَةِ سَنَةٍ مِنْهَا لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ قَالَ ابْنُ عُمَرَ فَوَهَلَ النَّاسُ فِي مَقَالَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ فِيمَا يَتَحَدَّثُونَ مِنْ هَذِهِ الْأَحَادِيثِ عَنْ مِائَةِ سَنَةٍ وَإِنَّمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَبْقَى مِمَّنْ هُوَ الْيَوْمَ عَلَى ظَهْرِ الْأَرْضِ أَحَدٌ يُرِيدُ بِذَلِكَ أَنْ يَنْخَرِمَ ذَلِكَ الْقَرْنُ
Nabi SAW mengimamkan solat Isyak pada satu malam ketika akhir hayat Baginda. Apabila Baginda memberi salam, Baginda bangun seraya bersabda: “Adakah kalian lihat pada malam ini. Sesungguhnya pada permulaan seratus tahun tidak akan ada seorang yang hidup di atas muka bumi ini.” Kata Ibnu Umar: “Orang ramai terkejut dengan apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tentang seratus tahun. Apa yang dimaksudkan oleh Nabi adalah berakhirnya generasi ini (yakni generasi para sahabat).” [Riwayat Muslim (4650)]


Ibnu Umar memahami bahawa tidak akan ada dari kalangan para sahabat yang akan hidup melebihi seratus. Beliau juga memahami daripada sabdaan Nabi bahawa zaman generasi para sahabat akan habis.

Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda:

ما من نفس منفوسة اليوم، تأتي عليها مائة سنة، وهي حية يومئذٍ
“Tidak ada nyawa yang akan hidup pada seratus tahun.” [Riwayat Muslim (2538)]


Imam Al-Nawawi menyebut bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi ialah sesiapa yang ada pada malam tersebut iaitu para sahabat, mereka tidak akan hidup lebih seratus tahun. (Rujuk: Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 16/89)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, sahabat yang paling akhir meninggal dunia ialah ‘Amir Bin Wathilah Al-Laithi. Gelaran kuniyah beliau ialah Abu Al-Tufail. Beliau wafat di Mekah pada tahun 110H. Beliau lahir ketika tahun berlakunya perang Uhud. Beliau sempat bersama dengan Nabi selama 8 tahun. (Rujuk: Ma’rifah Al-Sahabat Li Abi Nu’aim Al-Asbahani, 6/3534)

Imam Al-Zahabi menyebut bahawa beliau merupakan penutup bagi generasi yang pernah melihat Nabi SAW. Tidak ada yang berani mengaku pernah menjadi Sahabat Nabi ketika mana beliau masih hidup. Ianya berterusan pada zaman Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in sehingga selepas 500 tahun barulah muncul orang yang mengaku pernah melihat dan menjadi Sahabat di benua India. (Rujuk: Siyar ‘Alam Al-Nubala, 3/468)

Ibn Abdul Barr menyebut bahawa beliau orang yang terakhir dari kalangan sahabat. Abu Tufail pernah menyebut:

ما بقي على وجه الأرض عين تطوف ممن رأى النبي صلى الله عليه وسلم غيري
“Tidak ada lagi di atas muka bumi yang pernah melihat Nabi SAW selain daripada aku.” (Rujuk: Al-Isti’ab Fi Ma’rifah Al-Ashab, 4/1967)

Biodata Abu Tufail

Nama sebenar beliau ‘Amir Bin Wathilah Bin Abdullah Amru Al-Laithi Al-Kinani Al-Hijazi. Beliau merupakan antara pendokong dan pengikut Sayyidina Ali R.A. Oleh kerana itu, Imam Al-Zahabi menggelar beliau sebagai Al-Syi’i iaitu pendokong dan penyokong Sayyidina Ali. Beliau melihat Nabi ketika Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan iaitu haji terakhir Nabi SAW).

Beliau meriwayatkan hadih daripada beberapa orang para sahabat. Antaranya Abu Bakar Al-Siddiq, Umar Bin Al-Khattab, Muaz Bin Jabal, Ali dan lain-lain lagi. Bahkan beliau juga menjadi rujukan oleh beberapa orang dari kalangan Tabi’in seperti Habib Bin Abi Thabit, Al-Zuhri, Abu Zubair Al-Makki, Ali Bin Zaid Bin Jad’an dan lain-lain lagi.

Imam Al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau adalah seorang yang tsiqah (terpercaya), benar percakapan dan tindak tanduknya, alim, seorang penyair yang hebat. Dia diberikan umur yang panjang dan banyak bersama Sayyidina Ali dalam banyak peperangan. (Rujuk: Siyar ‘Alam Al-Nubala, 5/466-467)

Semoga Allah merahmati Abu Tufail. Wallahu’alam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/23/2020

0 comments:

Loading...