Sekolah Tahfiz Mandarin Pertama Di Malaysia

Dua pelajar SM Imtiaz sedang membaca terjemahan al Quran di dalam bahasa mandarin

MARANG, 20 Februari - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Marang menjadi sekolah tahfiz pertama yang menubuhkan kelas aliran bahasa Mandarin di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan para pelajar yang mempunyai kemahiran menguasai pelbagai bahasa.

Katanya, kurikulum pembelajaran di SMIYT adalah sebagaimana yang dilaksanakan dalam Kurikulum Bahasa Antarabangsa Bahasa Cina yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di sekolah-sekolah berasrama penuh.

"Para pelajar akan mengikuti sukatan pelajaran seperti biasa termasuk program hafazan dan mereka juga akan belajar bahasa Mandarin untuk mengikuti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah lima tahun pengajian.

"Saya berharap dengan adanya pengajian bahasa Mandarin ini akan memberi laluan kepada pelajar-pelajar di sini untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam atau luar negara," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penubuhan Program Tahfiz Mandarin di SMIYT Marang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) SMIYT Marang, Sulaiman Sulong.

Tambah beliau lagi, pembelajaran ini akan meningkatkan komunikasi dua hala dan pada masa yang sama membuktikan Islam adalah syumul yang boleh mencakupi semua bahasa.

Ishamudin

Sementara itu, Ishamudin berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan ini dengan kaedah-kaedah yang terbaik bagi memastikan kejayaannya.

Justeru itu katanya, seorang guru bahasa Mandarin yang khusus telah dilantik untuk pengajarannya di SMIYT.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut melihat pembelajaran Tahfiz Mandarin ini untuk satu jangka masa panjang dalam bidang teknologi alaf baharu di Terengganu.

Untuk rekod, pendaftaran pelajar Tingkatan Satu, Program Tahfiz Mandarin bermula 28 Januari 2020 melibatkan seramai 19 orang pelajar yang lulus dalam proses temuduga sebelum ini.

Sumber: teganukita.net