Setakat ini PBSNT bersih tapi kita akan siasat - FAM


Kuala Lumpur: Dakwaan mengatakan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) berdepan tunggakan gaji seakan tidak selari dengan maklumat dimiliki Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan mereka tidak pernah berdepan masalah dengan PBSNT yang sentiasa profesional dan tidak terlepas dalam menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan pengurusan bola sepak kepada badan induk itu.

"Setakat dalam pengetahuan FAM, PBSNT memang 'Bersih' daripada isu tunggakan gaji dan berdasarkan maklumat yang kita ada, memang mereka tiada ada apa-apa masalah (tunggakan gaji).

"Mungkin dakwaan dinyatakan itu adalah lebih kepada tuntutan di luar kontrak seperti bonus perlawanan atau sebagainya.

"Tetapi kita akan tetap meneliti dakwaan itu dan menghubungi PBSNT bagi mendapatkan maklum balas dan maklumat sebenar esok (hari ini). Kita akan menjalankan siasatan dan selepas mendapat maklumat lengkap, kita akan fikirkan langkah selanjutnya,"katanya.

Terdahulu, badan induk itu digesa menyiasat PBSNT yang didakwa belum menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Persatuan negeri itu dikatakan mungkir janji selepas didakwa belum melunaskan tunggakan gaji kepada pemain pegawai pasukan seperti dijanjikan.

Sumber mendakwa PBSNT berjanji akan membayar tunggakan itu pada 10 Februari lalu, namun bayaran itu belum diterima pemain dan pegawai pasukan.

Sebelum ini, tiga pasukan iaitu Melaka, PDRM dan Kelantan berada dalam 'buku disiplin' FAM susulan masalah tunggakan gaji namun hanya PDRM yang setakat ini sah berdepan pemotongan tiga mata dalam Liga Super kerana gagal menyelesaikan isu terbabit.