Solat Sunat Hadiah

Posted on Wednesday, February 05, 2020 | 2/05/2020



SOALAN:
Apakah Nabi SAW pernah melakukan solat sunat hadiah?

JAWAPAN:
Sebelum kita masuk pada perbincangan yang khusus berkaitan solat sunat hadiah ini, suka bagi kami untuk menjelaskan terlebih dahulu, adakah orang yang telah meninggal dunia akan mendapat pahala yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuknya?

Hal ini pernah diulas oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya bahawa telah berlaku ijma' dalam kalangan para ulama' bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih duhulu daripada kami.” (Al-Hasyr: 10)

Juga ada diriwayatkan daripada hadith yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” [Riwayat Muslim]

Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami.” [Riwayat Abu Daud dan lainnya]

Adapun berkaitan pembacaan al-Quran, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafie bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi, terdapat sekumpulan daripada ashab Imam al-Syafie sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama' yang lainnya dengan mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya bagi orang yang membaca al-Quran sejurus selepas selesai membacanya, hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan” dan disunatkan juga untuk memuji dan menyebut akan kebaikannya. [Lihat: al-Azkar, 164]

Melihat kepada pendapat Imam al-Nawawi ini, orang yang telah meninggal dunia akan mendapat pahala yang dilakukan oleh orang yang masih hidup untuknya. Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang dikatakan bahawa ia merupakan dalil bagi solat sunat hadiah sebagaimana yang terdapat di dalam beberapa kitab jawi lama seperti kitab Perukunan Besar [Lihat: Kitab Perukunan Besar, 21] yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, ulama' Syafie yang berasal daripada Tanah Banjar, Indonesia.

Begitu juga di dalam kitab Nihayah al-Zain oleh Sheikh Muhammad Nawawi al-Jawi al-Bantani, ulama' Syafie yang berasal daripada Banten, Indonesia; dan beliau menyandarkan solat ini kepada hadith yang mana ia diriwayatkan tanpa didatangkan sanadnya serta digunakan sighah tamridh (sighah tamridh ini biasa digunakan untuk meriwayatkan hadith yang dhaif):

وَمِنْه صَلَاة رَكْعَتَيْنِ للأنس فِي الْقَبْر رُوِيَ عَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم أَنه قَالَ لَا يَأْتِي على الْمَيِّت أَشد من اللَّيْلَة الأولى فارحموا بِالصَّدَقَةِ من يَمُوت فَمن لم يجد فَليصل رَكْعَتَيْنِ يقْرَأ فيهمَا أَي فِي كل رَكْعَة مِنْهُمَا فَاتِحَة الْكتاب مرّة وَآيَة الْكُرْسِيّ مرّة و التكاثر مرّة والْإِخْلَاص عشر مَرَّات وَيَقُول بعد السَّلَام
“Di antaranya (solat sunat) iaitu solat dua rakaat untuk manusia yang telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW pernah bersabda: “Pada malam pertama mayat itu dikebumikan maka keadaan mayat akan berada di dalam keluh kesah. Oleh itu, kasihanilah kamu dengan mengurangkan keluh kesah mayat itu dengan bersedekah. Jika tidak mampu bersedekah, maka solatlah dua rakaat dan bacalah pada setiap rakaat satu kali surah al-Fatihah, satu kali surah al-Takathur, satu kali ayat Kursi dan 10 kali surah al-Ikhlas lalu hendaklah dia berdoa sesudah memberi salam dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي صليت هَذِه الصَّلَاة وَتعلم مَا أُرِيد اللَّهُمَّ ابْعَثْ ثَوَابهَا إِلَى قبر فلَان ابْن فلَان فيبعث الله من سَاعَته إِلَى قَبره ألف ملك مَعَ كل ملك نور وهدية يؤنسونه إِلَى يَوْم ينْفخ فِي الصُّور
“Ya Allah! Sesungguhnya aku telah melakukan solat ini, sedang Engkau Maha Mengetahui apa yang aku maksudkan. Ya Allah! Kirimkanlah pahalanya ke kubur si Fulan bin Fulan”, nescaya Allah SWT mengirimkannya pada saat itu juga seribu Malaikat ke kuburnya bersama tiap-tiap Malaikat itu adanya pada mereka cahaya dan hadiah serta mereka juga turut berbaik-baik dengan mereka sehingga ditiup akan sangkakala.” [Lihat: Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, 1/107]

Tambahan pula, hadith ini juga terdapat di dalam kitab Hadiyyah al-Ahya’ al-Amwat [Lihat: Hadiyyah al-Ahya’ al-Amwat wa ma Yasilu Ilaihim, 1/185] karangan Abu Hasan Ali bin Ahmad bin Yusuf bin Ja’far al-Hakkari (486 H). Imam al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar A’lam An-Nubala’ pernah berkata bahawa Sheikh al-Hakkari merupakan seorang ahli sufi yang zuhud. Namun begitu, menurut Ibn Asakir, beliau berpendapat bahawa Sheikh al-Hakkari ini tidak tsiqah dalam meriwayatkan hadith. [Lihat: Siyar A’lam An-Nubala’, 19/68], bahkan matan hadith ini tidak dijumpai di dalam kitab-kitab hadith muktabar yang lain.

Selain itu, solat hadiah ke atas jenazah ini tidak pernah disebut oleh para fuqaha dalam kitab-kitab fiqh mazhab Imam al-Syafie seperti al-Iqna’, Fath al-Mu’in, Syarah al-Muhazzab, Mughni al-Muhtaj, Minhaj al-Tolibin dan sebagainya.

Sehubungan itu, kami berpandangan bahawa solat hadiah ini merupakan sejenis solat yang tidak jelas akan kesabitannya berdasarkan nas-nas syarak. Ini kerana, asal sesuatu ibadah itu adalah tawaqquf:

الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف
“Asal bagi ibadah adalah terhenti (iaitu terhenti kepada al-Quran dan al-Sunnah sahaja).”

Manakala, hadith yang dijadikan dalil adalah hadith yang tidak diketahui akan asalnya dan sebahagian ulama' menilainya sebagai palsu. Namun begitu, di sisi jumhur ulama' terdapat amalan lain yang diizinkan oleh syarak bagi tujuan yang sama iaitu dengan menghadiahkan pahala solat-solat sunat yang disyariatkan seperti solat sunat Dhuha, solat sunat Rawatib, solat sunat Witir dan sebagainya kepada orang yang telah meninggal dunia. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/426]
Begitu juga, bersedekah ke atas nama si mati termasuk di dalam amalan yang dapat menghubungkan pahala kepada si mati. Disebabkan itu, Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa ulama' telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mayat. [Lihat: al-Tazkirah, 279]

Perkara ini berdasarkan kepada hadith, daripada Aisyah R.anha bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَجُلاً أَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسَهَا وَلَمْ تُوصِ وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ أَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا قَالَ:‏ نَعَمْ ‏
Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia tanpa sebarang wasiat. Aku berasa dia akan berkata (mewasiatkan) kepadaku agar bersedekah jika dia boleh bercakap. Adakah dia akan mendapat ganjaran jika aku bersedekah dengan diniatkan ke atasnya?” Nabi SAW menjawab: “Ya.” [Riwayat Muslim (1004)]

Penutup

Kesimpulannya, pahala yang dilakukan oleh yang masih hidup akan sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Selain itu, berkaitan solat sunat hadiah ini, kami tidak mendapatinya di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar kerana setakat pencarian kami, kami tidak menemui asalnya. Justeru, hadith tersebut tidak boleh dijadikan dalil bagi solat sunat hadiah ini kerana setiap ibadah perlu terbina dengan dalil. Tambahan pula, sekiranya seseorang yang masih hidup ingin menyedekahkan pahala bagi setiap ibadah yang dilakukan seperti bersedekah, solat yang disyariatkan, berdoa dan sebagainya maka ia tidaklah menjadi satu kesalahan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan ini akan memberikan sedikit kefahaman kita dalam agama ini agar kita tidak melakukan sesuatu yang ditegah di dalam agama ini. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/05/2020

0 comments:

Loading...