Terengganu Kids Champ Ukir Sejarah Himpun 1,500 Peserta



KUALA NERUS, 28 Februari - Terengganu Kids Champ 2020 berjaya mengukir sejarah apabila menghimpunkan hampir 1,500 kanak-kanak pra sekolah dari seluruh daerah dan agensi di bawah satu bumbung melalui acara sukan.

Pengerusi  Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata acara yang akan berlangsung selama dua hari juga merupakan program julung-julung kali menghimpunkan semua agensi pra sekolah secara bersama.


Katanya, ia melibatkan semua agensi pra sekolah iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Perpaduan dan Jabatan Pendidikan Negeri bersama-sama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

"Saya difahamkan matlamat utama program ini bukanlah berbentuk perlawanan antara peserta tetapi lebih kepada menarik minat anank-anak untuk mencuba sukan-sukan tertentu seperti hoki, bola sepak, bola jaring, bowling padang dan sepak takraw.

"Dalam masa yang sama, saya dimaklumkan bahawa rekod penyertaan dan pencapaian anak-anak ini akan disimpan dalam pengkalan data MSNT untuk dijejaki perkembangan mereka pada masa akan datang," katanya.


Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Terengganu Kids Champ 2020 Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Negeri, Stadium Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya dan Ketua Unit Akademi MSNT merangkap Penyelaras Program, Mat Noor Bidin.

Tambah Dr Alias lagi, beliau berharap melalui program yang diadakan ini, akan berjaya melahirkan nama-nama besar dalam bidang sukan pada masa akan datang.

Justeru itu, kerajaan negeri sentiasa mengadakan program-program yang bertujuan untuk meningkatkan  kesejahteraan rakyat di samping  menggalakkan masyarakat di Terengganu untuk menceburi bidang sukan secara serius.

Sumber: teganukita.net