Terengganu Tingkat Sasaran Baharu, 5.5 Juta Pelancong Pada 2020

Para penerima APKT beramah mesara bersama Dr. Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 2 Februari- Terengganu meletakkan sasaran baharu 5.5 juta pengunjung ke negeri itu bagi tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu dinaikkan berikutan kejayaan Terengganu mencatatkan kenaikan 9.8 peratus jumlah pelancong bagi tahun 2019.

"Pada tahun 2018, kita merekodkan sebanyak 4.8 juta pelancong ke negeri ini.

"Bagaimanapun, tahun lalu sebanyak 5.3 juta pelancong telah berkunjung ke Terengganu, melepasi sasaran 5 juta yang kita idamkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu (APKT) 2018/2019 di Wisma Darul Iman, semalam.

Ariffin letak sasaran baharu pengunjung ke Terengganu.

Jelasnya, kejayaan itu melonjakkan semangat kerajaan negeri walaupun wujud kekhuatiran peningkatan hasil daripada industri pelancongan berikutan ancaman wabak Coronavirus.

"Ini adalah isu global yang mana seluruh dunia turut terjejas dalam sektor ini. Tetapi, apa yang bagus kita lebih menjadi tumpuan dari kalangan pelancong domestik," katanya.

Dalam APKT yang dirasmikan Menteri Besar semalam, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, sebanyak 13 kategori dipertandingkan.

Dalan kategori Penyumbang Kepada Industri Pelancongan Terbaik, daerah Marang dipilih menerima anugerah tersebut sekali gus mengangkat daerah tersebut yang sebelum ini malap menjadi tumpuan ramai pengunjung luar.

Sumber: teganukita.net