Tindakan DAP Tidak Hormati Mahkamah - Dr. Khairuddin

Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri.
Oleh: Mohd Irsyadi Abu Bakar

KUALA NERUS, 13 Februari - Tindakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut memperlihatkan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar tidak menghormati mahkamah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali melalui satu hantaran di laman Facebooknya menyatakan, lebih membimbangkan lagi apabila kenyataan tersebut dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran Kerajaan Pusat seperti Chong Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Jika Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara, maka tidakkah ini akan menjadikan rakyat biasa lebih berani untuk mempersoalkan keputusan mana-mana mahkamah selepas ini?

“Chong Chieng Jen adalah seorang peguam dan patut tahu bahawa amalan tradisi Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang (dissenting voice) akan diberikan secara individu oleh tiap-tiap hakim yang menentang manakala suara majoriti (majority voice) pula lazimnya diberikan secara bersama,” tulisnya.

Jelasnya, apa yang sepatutnya pemimpin DAP lakukan adalah meminta maaf kepada pengundi Pujut khasnya dan kepada rakyat Sarawak umumnya kerana kesilapan memilih Dr Ting Tiong Choon sebagai calon di DUN Pujut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak walaupun beliau tidak layak.

“Rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang negara seharusnya beramai-ramai bersuara mendesak Chong Chieng Jen dan DAP meminta maaf atas keterlanjurannya ini,” katanya.

Sumber: teganukita.net