TLHT Garang Tumpaskan Pendahulu Liga

Pasukan TLHT bergambar selepas perlawanan.

KUALA TERENGGANU, 8 Februari- Jaringan pemain kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani melalui pukulan sudut penalti pada minit ke 37,  sudah cukup untuk membantu Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) menumpaskan Akademi Hoki Kuala Lumpur dalam aksi Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2020, petang ini.

Melayan kunjungan pendahulu liga itu di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), tuan rumah menerapkan permainan bertahan untuk mengimbangi kekuatan serangan pelawat.
Mohd Nasihin Nubli.

Pengendali pasukan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyatakan, pasukannya bermain berdasarkan kekuatan yang dimiliki sebaiknya.

"Kami ikut kemampuan kami dan hari ini taktikal berjalan baik.

"Kita dapat bertahan dengan baik, bahagian serangan juga melakukan tekanan kepada lawan dengan baik," katanya.
Siti Noor Amarina, penjaring tunggal perlawanan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut, sebentar tadi.

Jelasnya, walaupun barisan serangannya terdiri daripada pemain-pemain muda, mereka mempamerkan aksi yang baik dalam perlawanan.

"Sebelum ini mereka ada peningkatan, tetapi bertemu dengan pasukan kuat seperti ini kita kurang mendapat peluang menyerang.
Penjaga gol TLHT, Guzal Bakhavaddin menjadi wira di gawang pasukan.

"Tetapi, mereka melaksanakan tugas dengan baik sebagai pasukan," katanya.

Berbaki tiga perlawanan lagi, Mohd Nasihin Nubli lebih fokus untuk mendapatkan mata penuh dalam setiap perlawanan mendatang.

"Selepas kita kalah tempoh hari, kita perlukan setiap mata dalam setiap 'game'.

"Pemain sudah tunjukkan kesungguhan mereka, jadi yang lain kita berserah pada Allah SWT. Kita buat mana yang mampu," katanya.

Pemain meraikan kemenangan sebaik tamat perlawanan.



Sumber: teganukita.net