Zakat Ke Atas Harta Orang Gila Atau Kanak-Kanak


SOALAN:
Jika sekiranya orang gila atau kanak-kanak mempunyai harta, adakah wajib untuk dikeluarkan zakat daripada harta mereka tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat berdasarkan firman-Nya:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).” (Surah al-Taubah: 103)

Para fuqaha’ telah menyenaraikan syarat-syarat yang mewajibkan seseorang mengeluarkan zakat daripada hartanya. Antaranya yang disebut Imam Khatib al-Syarbini menyebutkan di dalam kitab al-Iqna’ Fi Halli alfaz Abi Syuja’ bahawa terdapat lima syarat, iaitu:

  • Beragama Islam, tidak wajib ke atas orang kafir.
  • Merdeka, iaitu bukan hamba.
  • Pemilikan yang penuh. Tidak wajib ke atas hamba al-mukatab kerana mempunyai pemilikan yang lemah terhadap hartanya.
  • Cukup nisab, iaitu kadar tertentu bagi harta tertentu yang diwajibkan zakat sekiranya mencukupinya.
  • Sempurna haul, iaitu cukup tempoh yang menjadikan harta yang disimpan wajib untuk dikeluarkan zakat.

Digembalakan, iaitu syarat tambahan bagi zakat haiwan ternakan yang wajib dikeluarkan zakat hendaklah digembalakan di padang-padang ragut yang harus. (Rujuk al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1:212-213)

Jika dilihat pada syarat wajib zakat di atas, tiada syarat baligh dan berakal seperti kebiasaannya yang ada pada ibadat-ibadat wajib yang lain seperti solat dan puasa.

Walau bagaimanapun, para fuqaha’ tidak meletakkan syarat baligh dan berakal sebagai syarat wajib zakat, menunjukkan bahawa kanak-kanak dan orang gila wajib untuk menunaikan zakat jika sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah disebutkan di atas. Hal ini disebut secara jelas di dalam kitab-kitab fiqh, antaranya:

1. Imam al-Mawardi menyebut dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir dengan menukilkan pandangan Imam al-Syafie:

وَتَجِبُ الصَّدَقَةُ عَلَى كُلِّ مَالِكٍ تَامِّ الْمِلْكِ مِنَ الْأَحْرَارِ ، وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا أَوْ مَعْتُوهًا أَوِ امْرَأَةً لَا فَرْقَ بَيْنَهُمْ فِي ذَلِكَ
“Zakat hukumnya wajib bagi setiap orang yang memiliki harta dengan pemilikan sempurna (tam al-milk), dari pemilik orang merdeka (bukan hamba), meskipun anak kecil atau orang gila atau wanita. Tidak ada perbezaan antara mereka dalam kewajiban berzakat.” (Rujuk: al-Hawi al-Kabir, 3:329)

2. Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah pula, Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa:

فَلَيْسَ مِنْ شُرُوط وُجُوبِ الزَّكاة: البُلُوغ و العَقْل قَتَجِبُ فِي مَال الصَبِيّ وَ المَجْنُون والمخَاطَبُ بِذَلِكَ وَلِيُّهُمَا
“Justeru, tidak termasuk dalam syarat-syarat wajib zakat, syarat baligh dan berakal. Oleh itu, wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Dan yang diperintahkan untuk melaksanakan demikian bagi pihak mereka ialah wali mereka.” (Rujuk: al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 397)

Kesimpulan

Kami menyatakan bahawa wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kanak-kanak dan orang gila jika sekiranya mencukupi syarat-syarat wajib zakat yang telah disebutkan. Syarat-syarat tersebut tidak termasuk syarat baligh dan berakal, oleh sebab itu maka wajib dikeluarkan zakat ke atas harta kedua-duanya.

Oleh itu, para wali yang menjaga mereka seperti ibu bapa dan penjaga bertanggungjawab untuk menunaikan zakat bagi pihak kanak-kanak dan orang gila tersebut kerana mereka tidak mampu untuk memahami dan menguruskannya sendiri. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media