Adakah Suami Layak Menerima Harta Pusaka Rumah Isteri Yang Dibeli Sebelum Berkahwin?

Posted on Monday, March 09, 2020 | 3/09/2020



SOALAN:
Sekiranya isteri ada membeli rumah sebelum berkahwin, adakah selepas kematian isteri, suami berhak ke atas rumah tersebut melalui faraid walaupun suami tidak penah bayar duit installment rumah bulan-bulan, bahkan tak tahu pun kewujudan rumah tersebut?

JAWAPAN:
Apabila seseorang meninggal dunia, segala hartanya akan diklasifikasikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka atau harta peninggalan ialah semua harta yang mempunyai nilai dan dimiliki semasa hayatnya serta berterusan sehingga kematiannya.

Berdasarkan penetapan daripada pihak Baitulmal MAIWP, harta-harta itu termasuklah:

  • Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.
  • Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.
  • Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.
  • Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.
  • Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
  • Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

(Rujuk: https://www.maiwp.gov.my/i/index.php/en/2015-11-20-07-49-26/faraid-pusaka)

Berdasarkan pembahagian kategori harta di atas, rumah yang dibeli isteri sebelum berkahwin dan berterusan menjadi hak milik isteri selepas berkahwin merupakan harta yang dikategorikan sebagai harta pusaka yang wajib dibahagikan kepada ahli waris yang mempunyai perkaitan atau disebut sebab perwarisan.

Antara ahli waris utama yang mempunyai bahagian harta pusaka ialah suami, anak-anak (lelaki dan perempuan) dan ibu bapa. Jika kesemua ahli waris ini ada dan masih hidup, maka harta si mati akan dibahagikan keseluruhannya kepada mereka selepas ditolak kos pengurusan jenazah si mati, hutang-piutang dan wasiat yang ditinggalkan. (Lihat: al-Mughni al-Muḥtaj, 4/7)

Sementelahan itu, rumah yang dibeli isteri di atas tidaklah menjadi hak milik penuh si suami. Sebaliknya akan dibahagikan berdasarkan ketetapan Syarak. Sebagai contoh, jika kita mengandaikan kesemua ahli waris seperti suami, seorang anak lelaki, dua orang anak perempuan dan ibu bapa si mati masih ada.

Suami, ibu dan bapa si mati akan dapat bahagian masing-masing terlebih dahulu. Kemudian, keseluruhan baki harta (BH) akan diberikan kepada anak lelaki dan anak perempuan dengan nisbah anak lelaki dua kali ganda anak perempuan.

Pembahagiannya seperti berikut:


Jika si mati hanya mempunyai aset sebuah rumah sahaja dan nilai harga semasa rumah tersebut ialah RM700,000 contohnya. Maka, suami hanya dapat 9/36 bahagian rumah sahaja, berjumlah kira-kira RM175,000. Selebihnya diberikan kepada ahli waris seperti yang tertera pada jadual di atas.

Situasi akan berbeza jika sebelum isteri meninggal dunia, isteri sudah menjual atau menukar hak pemilikan rumah kepada orang lain. Kesannya, rumah tersebut tidak tergolong di bawah harta pusaka lagi dan ahli waris tidak layak menuntut harta tersebut.

Kesimpulannya, suami mempunyai hak terhadap aset rumah si mati sebanyak 1/4 bahagian sahaja. Pembelian rumah sebelum berkahwin ataupun selepas berkahwin tidak memberi kesan terhadap kelayakan suami mendapat bahagian harta pusaka rumah tersebut melainkan rumah tersebut sudah dipindah milik kepada orang lain.

Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/09/2020

0 comments:

Loading...