Bagi mereka peluang buktikan

Posted on Wednesday, March 04, 2020 | 3/04/2020



KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain percaya dua pemain import baharunya, Dominique da Sylva dan Babacar Diallo mampu menyinar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini biarpun sedikit kecewa pada aksi pertama liga bertemu Perak, Sabtu lalu.

Justeru beliau tetap memberi peluang selain menaruh keyakinan kepada dua pemain berusia 31 tahun itu untuk terus mengemudi jentera pertahanan dan serangan pasukan.

Bagaimanapun Nafuzi menuntut kedua-dua pemain itu yang belum pernah lagi beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M), belajar daripada perlawanan pertama selain mengharapkan mereka bangkit mempamerkan aksi sebenarnya pada perlawanan kedua bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu ini.

Pada pertemuan dengan skuad The Bos Gaurus, Da Sylva yang diharapkan mampu menjadi senjata pemusnah gagal beraksi dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan, begitu juga dengan Diallo yang tampak longgar di posisi pertahanan sehingga membenarkan lawan meledak tiga gol ketika tewas 1-3.

“Itu adalah perlawanan pertama mereka dalam saingan liga namun pemain berkenaan harus mengambil iktibar kesukaran bermain dalam saingan Liga Super.

“Bagi saya mereka juga perlu bekerja lebih keras lagi. Lagipun saya sudah ingatkan kepada semua pemain perlawanan persahabatan tidak sama dengan perlawanan sebenar, jadi apa yang kami nampak barisan pemain import menghadapi kesukaran terutama bertemu pasukan yang memberi tekanan.

“Bagaimanapun kedua-dua pemain import itu sudah cuba memberikan yang terbaik, mungkin belum tiba masanya. Jadi kami akan perbaiki kelemahan itu selepas ini,” ujar Nafuzi.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd Isa Che Ariffin percaya dengan kemampuan Nafuzi membimbing skuad itu, namun beliau menuntut jurulatih muda itu melakukan perubahan taktikal menentang Kedah nanti.

“Perlawanan pertama yang tidak menjadi dan prestasi dua pemain import iaitu Da Sylva dan Diallo juga masih kurang mantap lagi.

“Jurulatih perlu melakukan perubahan taktikal berdepan Kedah pada hujung minggu ini bagi memastikan TFC mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata,” katanya. - Harian Metro
Blog, Updated at: 3/04/2020

0 comments:

Loading...