Cabaran Kuda Lasak Piala MB Terengganu Bermula

Posted on Sunday, March 08, 2020 | 3/08/2020


Antara peserta yang mencuri tumpuan.
SETIU, 7 Mac - Seramai 79 peserta dari dalam dan luar negeri mewarnai kejohanan kuda lasak Piala Menteri Besar Terengganu 2020 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu yang bermula petang tadi.

Kejohanan edisi keempat itu disertai peserta lelaki dan wanita termasuk dua pelumba handalan kebangsaan berasal dari Terengganu, Mohammad Fuad Hashim dan Azizatul Asma Datuk Abdullah.

Perlumbaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sejauh 40 kilometer (km), 80 km serta 100 km dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 jam dan akan berakhir pada jam 5 pagi esok.

Majlis pelepasan peserta bagi tiga acara berkenaan disempurnakan sendiri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5.00 petang tadi.
Ahmad Samsuri melepaskan peserta.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Mohammad Fuad yang memakai jersi 21 pastinya bertekad mahu memperbaiki catatan musim lalu.

Mohammad Fuad yang juga atlet Sukan SEA negara menyertai kategori CEI 1* 100 km dijangka bakal ditentang hebat rakan senegaranya, Azizatul Asma yang menunggang kuda diberi nama Mora Franka.

Kejohanan kali ini turut mencuri tumpuan peminat apabila peserta termuda, Farish Iskandar Mohammad Iskandar akan membuat perhitungan dalam kategori CEN 40 km.

Acara penyampaian hadiah akan berlangsung pagi esok dan Ahmad Samsuri dijangka hadir bagi menyempurnakan majlis tersebut.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/08/2020

0 comments:

Loading...