COVID-19 : Aktiviti Pertanian, Perbekalan Makanan Diteruskan Bersyarat

Dr Azman Ibrahim.


Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 30 Mac - Pergerakan aktiviti sektor pertanian serta rantaian bekalan makanan di Terengganu boleh diteruskan seperti biasa walaupun wabak COVID-19 masih belum reda sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim walau bagaimanapun berkata, semua pihak yang terlibat perlu mendapatkan surat pengesahan daripada pegawai pertanian daerah masing-masing bagi membolehkan aktiviti itu dijalankan dengan tahap kawalan yang tinggi.

"Isu ini cukup jelas bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak Polis. 

"Cuma mungkin sistem penyampaian maklumat yang agak sukar di peringkat bawah menyebabkan masih ada lagi aduan mengenai premis jualan bahan mentah makanan yang tidak dapat beroperasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pengecualian yang diberikan kepada pemain industri pembekalan dan pemasaran makanan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikategorikan dalam konteks perkhidmatan penting negara perlu diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan dengan surat pengesahan tersebut setiap pergerakan bagi maksud pembekalan dan pemasaran makanan sama ada bagi agensi, individu atau syarikat adalah dibenarkan.

"Termasuklah pergerakan petani, nelayan dan penternak untuk menjalankan aktiviti harian masing-masing. 

"Tidak terkecuali juga ialah pergerakan jentera untuk pertanian dan lori yang membawa input seperti baja, makanan ternakan dan memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan.

"Kedai makan boleh dibuka secara bungkus dan dibawa balik. Jangan biarkan pelanggan makan dan berkumpul di kedai masing-masing. Malah, gerai jual ayam, daging, sayur, bahan-bahan mentah juga boleh meneruskan operasi," katanya.

Tambah Dr Azman, satu perbincangan bersama pihak berkuasa Majlis Daerah Besut telah diadakan agar penguatkuasaan kepada kedai makan dan tempat jualan bahan mentah makanan ditumpukan kepada pelanggaran PKP sahaja terlebih dahulu.

"Peniaga yang disaman kerana kesalahan tiada lesen perniagaan dalam tempoh PKP akan dinilai semula. Fokus kita ialah permudahkan urusan rakyat diwaktu sukar begini. Habis PKP, sila teruskan penguatkuasaan lesen perniagaan seperti biasa," ujarnya.

Untuk warga Terengganu yang terlibat dalam industri pertanian boleh menghubungi Pegawai Pertanian Daerah masing-masing bagi mendapatkan surat pengesahan.

Hubungi Pegawai Pertanian Daerah masing-masing antaranya saudari Nazirah (0172181421, Kemaman), Nur Shazwani Mohd Salleh 0103259930,Dungun), Nik Mohd Haizul (0199839453, Marang).

"Dan bagi daerah Kuala Terengganu, Muazzam (0199863242), Rohaya Yahya (0173406345), Tuan Sabrina Malini (0105479080), Siti Zalyha 0189704474 (Hulu Terengganu), Ahmad Zul Syauqi (013-9449776, Kuala Nerus), Muhammad Firdaus (0192904674, Setiu) dan Nor Hazlini (0199859789 Besut)," jelasnya.



Sumber: teganukita.net