COVID-19 : Kawalan Pergerakan Dilanjut Hingga 14 April - PM

Muhyiddin. Foto ihsan - Google.

KUALA LUMPUR, 25 Mac - Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini ekoran wabak COVID-19 yang masih merebak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk membuat persediaan.

"Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif COVID-19 yang baharu masih berlaku.

"Pola ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun. Ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi satu tempoh yang lebih lama," katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Menurut Muhyiddin, tempoh lanjutan PKP itu juga akan dikaji dari semasa ke semasa.

"Sebarang keperluan untuk melanjutkan tempoh PKP itu, yang setakat ini dijadual berakhir pada 14 April akan diumumkan kemudian.

"Yang penting, saya mohon supaya saudara saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

"Paling penting, semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi, termasuk bekalan makanan, elektrik serta air.

"Perkhidmatan kutipan sampah dan pembetungan, kemudahan komunikasi serta logistik, keselamatan dan ketenteraman awam juga termasuk dalam aspek ini," katanya.



Sumber: teganukita.net