COVID-19 : Kuliah Medan Ilmu Jerteh Ditangguhkan


Oleh: Muhd Afiq Zohir

BESUT, 19 Mac - Kuliah Medan Ilmu Jerteh ditangguhkan buat beberapa minggu bagi membendung penularan virus COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan susulan tempoh Kawalan Pergerakan (18 Mac hingga 31 Mac 2020).

Pengarah Medan Ilmu Jerteh, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata, penangguhan kuliah itu bagi memenuhi saranan Kerajaan Malaysia untuk mencegah penyebaran wabak virus COVID-19.

“Mesyuarat Jawatankuasa Medan Ilmu telah memutuskan untuk ditangguhkan sebarang aktiviti himpunan bagi mengelak sebarang penyakit, penangguhan telah dibuat melalui poster dan media sosial.

"Saya memohon maaf kepada seluruh pengunjung Medan Ilmu, insya-Allah kuliah akan diteruskan secara dalam talian," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pejabat PAS Kawasan Besut.

Salahuddin yang juga yang Setiausaha PAS Kawasan Besut menyatakan bahawa sebarang himpunan dalam masa terdekat terpaksa ditangguhkan.

“PAS Kawasan Besut telah menangguhkan beberapa aktiviti yang melebihi bilangan 100 orang, antaranya Mesyuarat Agung PAS Kawasan Besut (11 April) dan Jamuan Makan Dana SRIDAF (4 April), tarikh penangguhan akan dimaklumkan kemudian.

"Pihak kami telah mengambil beberapa langkah bagi membendung penyebaran virus ini. Semua pihak tidak dibenarkan melakukan sebarang himpunan dalam masa terdekat sehingga penularan wabak ini tamat," tegasnya.

Beliau juga menyarankan agar masyarakat sentiasa mengadakan solat hajat bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Sumber: teganukita.net