COVID-19 : Lagi Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Empat

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu akan menambah RM300,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Fasa Empat untuk mengurangkan beban rakyat Terengganu yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April 2020.

Jelasnya, kerajaan negeri merasakan untuk jangka masa yang lama, rakyat wajar diberi perhatian sepenuhnya terutama yang berpendapatan harian dan tidak tetap.

"Antara mereka yang layak untuk menerima insentif ini ialah peniaga kecil, buruh, petani, peneroka, pemandu teksi, pengusaha beca, dan seumpamanya.

"Mereka akan dikenal pasti melalui Pusat Khidmat Masyarakat dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Facebook rasminya, hari ini.

"Saya yakin dan percaya kita mampu hadapi waktu yang genting ini secara bersama dengan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya melalui pematuhan arahan pihak berkuasa.

"Terus tingkatkan munajat agar segala urusan dipermudahkan dan wabak ini segera diangkat oleh Allah SWT," jelasnya.

Terdahulu, Terengganu memperkenalkan bantuan barangan keperluan harian di bawah Pakej Rangsangan Terengganu Cakna bagi menangani kesan wabak COVID-19.

Pakej rangsangan fasa tersebut akan memberi bantuan segera kepada rakyat yang benar-benar memerlukan bagi tiap-tiap keluarga.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri juga akan menyelaras pakej bantuan kepada rakyat akibat wabak COVID-19 melalui beberapa fasa yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sumber: teganukita.net