COVID-19: MPKK Teluk Menara Agih 450 Ekor Ayam



Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 30 Mac  - Sebanyak 450 ekor ayam bersih diagihkan kepada 420 buah rumah di kampung Teluk Menara, Manir, di sini semalam, dalam usaha meringankan beban susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Menara, Manir, Hamazah Mohd Latif berkata, kesemua rumah mendapat seekor ayam hasil inisiatif pihaknya selepas mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak dan orang ramai.

"Kita tahu ramai yang terkesan sepanjang tempoh PKP dan ada yang hilang sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

"Jadi kami ambil inisiatif sendiri cari bantuan daripada pihak prihatin dan kami bersyukur berkebetulan ada sebuah pengusaha ayam di kampung kami bermurah hati bekalkan ayam bersih tersebut dengan harga murah untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan," katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.

"Selain ucapan terima kasih, kegembiraan jelas terbayang di wajah-wajah penerima dengan rezeki yang diterima walau terlalu kecil berbanding keperluan mereka ketika ini.

"Juga ada sebahagian keluarga berkemampuan menolak dengan penuh sopan dan kalimah penghargaan tetap dihadiahkan kepada seluruh petugas kami,"ujarnya lagi.


Beliau berharap pemberian ayam berkenaan dapat meringankan beban keluarga memerlukan terutama ibu tunggal dan fakir miskin.

"Terdahulu, hampir 200 bungkusan bantuan keperluan asas termasuk bantuan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir telahpun diedarkan kepada yang benar-benar terkesan selepas pihak kami kenal pasti.

"Selepas ini gabungan MPKK, Jawatankuasa Masjid dan Belia tubuhkan TM Care akan bekerjasama untuk memberi sumbangan barangan keperluan lain bagi memastikan tiada keluarga yang terjejas sumber makanan dalam tempoh PKP ini," katanya.

Hamazah yang juga merupakan Penasihat TM Care menyeru orang ramai untuk terus menyumbang terutamanya wang tunai ke akaun 13010005864714 Bank Muamalat  MPKK Teluk Menara.

Sumber: teganukita.net