COVID-19 : Parlimen KT Santuni Mahasiswa Terjejas



Oleh: Husein Husaini

KUALA TERENGGANU, 23 Mac– Pejabat Parlimen Kuala Terengganu mengambil langkah menghulurkan bantuan berbentuk bekalan makanan dan minuman kepada beberapa buah sekolah pondok dan universiti di sekitar Kuala Terengganu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 yang dikuatkuasakan, 18 Mac lalu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, bantuan berupa biskut, air mineral, pek minuman, roti dan kurma telah diedarkan untuk membantu sedikit sebanyak keperluan makanan mahasiswa yang masih berada di asrama.

“Ramai yang terjejas kerana hilang pendapatan dan terputus bekalan makanan, termasuk para pelajar.
"Jadi, saya ambil keputusan untuk menghulurkan bantuan ke enam buah sekolah pondok dan universiti termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual oleh Terengganu FM, berkenaan situasi wabak COVID-19 di negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia itu turut menyatakan, kerajaan Terengganu telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan Pakej Rangsangan Terengganu Cakn Covid-19 dengan peruntukan berjumlah RM 6 juta untuk membantu golongan yang terkesan.

"Pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga telah mengambil inisiatif membantu golongan asnaf terjejas dengan menubuhkan skuad 'On Call COVID-19 MAIDAM'," katanya.



Sumber: teganukita.net