COVID-19 : SATU Terengganu Hentikan Sementara Bacaan Meter Air

Posted on Sunday, March 22, 2020 | 3/22/2020



KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akan menghentikan sementara operasi pembacaan meter dan menutup lapan pusat khidmat pelanggan di Terengganu mulai esok 23 Mac hingga 31 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperketatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, SATU komited menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk mengawal pergerakan selaras dengan PKP di Malaysia untuk menangani wabak COVID-19.

"SATU akan mengurangkan skop perkhidmatan bekalan air utama dan akan menumpukan kepada tanggungjawab kritikal untuk membekalkan air kepada semua pengguna air yang berdaftar di Terengganu.

"Skop perkhidmatan yang kami tumpukan adalah termasuk pembacaan meter (kecuali bagi pengguna besar), pemotongan bekalan air serta kutipan bil dan lain-lain perkhidmatan di kaunter perkhidmatan pelanggan di seluruh Terengganu semuanya akan dihentikan sementara dalam tempoh tersebut," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, beberapa perkhidmatan yang tidak kritikal akan dikurangkan kepada tahap yang minima bagi membendung pergerakan orang ramai dan meminimumkan risiko kesihatan awam ketika PKP berkuatkuasa.

"Bagi memastikan operasi syarikat tidak terjejas selaras dengan kebenaran daripada Suruhanjya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kami tetap menjalankan beberapa aktiviti seperti anggaran bil dan pilihan pembayaran bil.

"SATU akan mengeluarkan bil air berdasarkan anggaran yang diperolehi
daripada penggunaan bulan sebelumnya.

"Untuk menjayakan PKP, kami amat menggalakkan pengguna membuat bayaran secara 'online'.

"Dalam tempoh PKP ini, SATU tidak akan melaksanakan pemotongan bekalan air kepada mana-mana pengguna berdaftar di Terengganu. Namun pengguna dinasihatkan supaya membuat bayaran bil air mereka tepat pada masanya," ujarnya.

Tegas Ir Atemin, SATU berusaha melakukan yang terbaik untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air bersih dan selamat yang berterusan kepada pengguna di Terengganu.

SATU menasihatkan pengguna bekalan air negeri Terengganu supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk kekal duduk di rumah.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/22/2020

0 comments:

Loading...