COVID-19 : Sukarelawan Terengganu Bantu Penjagaan Anak Petugas & Kakitangan Hadapan - MB

Posted on Wednesday, March 18, 2020 | 3/18/2020


Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau keadaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, hari ini.
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Terengganu mengambil langkah untuk membantu penjagaan anak para petugas dan kakitangan hadapan yang bertungkus-lumus melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka adalah termasuk petugas hospital iaitu doktor, jururawat dan wira-wira COVID-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga dan anak kecil.

"Oleh kerana pusat jagaan dan taska ditutup maka mereka tiada pilihan. Justeru kita sedang dalam proses untuk menyelesaikan perkara ini. Ramai sukarelawan yang tampil ke hadapan menawarkan khidmat mereka membantu meringankan beban petugas hospital.


"Hasil perjumpaan saya dengan Perdana Menteri semalam, beliau menekankan semua langkah yang diambil dengan serius oleh semua pihak dan sekiranya tempoh dua minggu ini tidak mendatangkan kawasan yang sepatutnya, pihak Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan mengambil langkah yang lebih drastik daripada itu.

"Untuk mengelakkan langkah yang lebih drastik dikenakan, semua pihak bukan sahaja hospital yang saya rasakan sangat berdedikasi dalam menjalakan tugas mereka tapi semua rakyat perlu sama-sama mainkan peranan.


"Kepada yang belum lagi menjalankan ujian, tolong datang ke depan," rayunya dalam satu kenyataan kepada pemberita ketika tinjauan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Mengulas tentang keselamatan masyarakat, beliau menambah, kerajaan negeri mendengar dengan teliti apa yang diminta dan dimaklumkan kepada mereka oleh pihak kerajaan sama ada Kementerian Kesihatan atau Majlis Keselamatan Negara.

"Semua penduduk diminta menghentikan aktiviti dan berada di rumah masing-masing. Ini adalah penting untuk mengelakkan penularan COVID-19 ini berterusan.

"Sepanjang laluan saya tadi ada lagi satu dua tempat kedai makan yang buka secara terbuka. Saya merayu sangat-sangat kepada mereka supaya menutupnya sementara. Ini bukan masa untuk kita 'enjoy' tetapi bersama-sama mainkan peranan masing-masing.

"Pihak kedai makan dan lain-lain semua ada peranan masing-masing supaya hanya menyediakan makanan untuk dibawa pulang sahaja.

"Dan kepada rakyat negeri Terengganu, duduklah di rumah masing-masing dan tidak menjadikan kepulangan mereka ini seperti tempoh bercuti raya," tegasnya.





Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/18/2020

0 comments:

Loading...