COVID-19 : TADC Tangani Masalah Hasil Pertanian Terengganu



Dr Azman.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 24 Mac – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) dilantik sebagai ejen pemasaran bagi menangani masalah hasil pertanian ekoran wabak COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, mesyuarat khas portfolio semalam bersepakat berbuat demikian untuk memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan dengan baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.

Jelasnya, TADC akan memanfaatkan kemudahan pasaran sedia ada iaitu sembilan Agrobazar Rakyat, 17 Agrobazar Kedai Rakyat, tujuh Pasar Tani Kekal Nyior, Pasar Tani Kekal Kerteh, Kemaman, My Farm Outlet dan Agrobazar Online di Chendering.

"TADC juga akan mengambil peranan untuk mencari ruang pasaran yang ada untuk memasarkan hasil pertanian Terengganu ke seluruh negara.

"Di samping Distribution Center (DC) yang lengkap dengan kemudahan bilik sejuk milik TADC di Telaga Papan, Setiu pula akan berperanan sebagai pusat pengumpulan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman turut mengharapkan agar petani, nelayan dan penternak yang berhasrat memasarkan hasil pertanian masing-masing menghubungi pegawai TADC bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Hubungi pengurusan TADC untuk info lanjut antaranya saudara Azhar di talian (013-9832467, Pengurus DC), Mahadi (017-9842738, Pengurus Logistik), Razih, (013-9481717, Pegawai Pemasaran), Hafiz, (014-5174389, Pegawai Penghantaran),  dan Hazli, 011-17992564.

"Semoga langkah dan tindakan ini dapat menangani sebahagian isu pasaran hasil pertanian yang timbul disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan kerajaan sekarang," tegasnya.

Baru-baru ini Dr Azman membangkitkan isu pemasaran hasil pertanian yang menjadi kerisauan bagi petani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19.

"Walaupun pergerakan kenderaan yang membawa hasil pertanian dibenarkan, namun mereka berdepan dengan isu ruang pasaran sangat terhad apabila pasar borong, pasar tani, pasar sehari dan pasar malam dihentikan operasi.

"Selain pertanian, hasil akuakultur seperti kerapu hibrid juga berdepan isu sama," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net