COVID-19: Tiada Pelajar Dan Kakitangan TATIUC Positif


KUALA TERENGGANU, 31 Mac- Kolej Universiti TATI (TATIUC) mengesahkan bahawa tiada pelajar dan kakitangan institusi pengajian tinggi itu disahkan positif COVID-19 setakat ini.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, beliau merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana melindungi mereka semua dari wabak berkenaan.

"Pada 10 hingga 11 Mac lalu telah berlangsung Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI 2020) kerjasama di antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan TATIUC, di mana kita  merupakan tuan rumah bagi MPI 2020 yang berlangsung di Dewan Canselor TATIUC.

"Salah seorang juri daripada Institut Pengajian Tinggi Awam ( IPTA) telah disahkan positif COVID-19 selepas itu. Justeru, saya amat bimbang kemungkinan berlaku jangkitan di kalangan peserta yang melibatkan 445 produk inovasi serta hampir 2000 pengunjung dan peserta yang terlibat," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad 

Katanya, hari ini adalah hari terakhir bagi  semua pelajar dan kakitangan yang terlibat dengar MPI 2020 menjalani 'self-quarantine'.

"Pada malam 13 Mac lepas, kami telah menunaikan solat sunat hajat bersama-sama pelajar Huffaz Fast Track SPM, memohon kepada Allah semoga semua warga TATIUC dilindungi daripada wabak ini," katanya.

Justeru, beliau turut mengharapkan semoga semua warga TATIUC sentiasa dalam keadaan tenang dan menjaga kesihatan dan kebersihan.

"Berusaha untuk solat diawal waktu, melaksanakan solat-solat sunat dan membaca al-Quran serta jangan berhenti berdoa.

"Semoga semuanya di dalam keberkatan dan sentiasa dilindungi Allah," ujarnya.



Sumber: teganukita.net