COVID-19 : Yuran Taska Permata Terengganu Dipulangkan

Posted on Tuesday, March 24, 2020 | 3/24/2020



KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan mempertimbang semula pemulangan yuran Taska Permata Keluarga yang telah dibayar oleh ibu bapa susulan penutupan operasi taska dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Pembangunan Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pertimbangan tersebut memandangkan kesemua Taska Permata Keluarga di bawah kendalian YPKT telah menutup operasinya bagi membendung penularan wabak COVID-19.

"Sebanyak 67 buah Taska Permata Keluarga YPKT telah ditutup dalam tempoh PKP ini. Bagi yuran taska yang telah dibayar oleh ibu bapa, kerajaan negeri akan mempertimbang untuk memulangkannya semula.

"Caj yuran hanya dikenakan mengikut bilangan hari kehadiran anak-anak mereka ke taska sebelum penutupan taska. Walau bagaimanapun, pemulangan yuran akan diuruskan selepas tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Jelas Hanafiah, kerajaan negeri juga akan menanggung pembayaran gaji guru-guru Taska Permata Keluarga sebagaimana kebiasaannya.

"Terus duduk di rumah dan ambillah langkah-langkah yang dinasihatkan oleh pihak yang bertanggungjawab," tambahnya.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/24/2020

0 comments:

Loading...