Hukum Bersalaman Ketika Suasana Wabak COVID-19

Posted on Friday, March 20, 2020 | 3/20/2020



SOALAN:
Apa hukum saling bersalaman dalam keadaan virus COVID-19 sedang menular?

JAWAPAN:
Tidak dinafikan bersalaman di atas tujuan bersilaturrahim kerana Allah SWT merupakan satu kemuliaan dan dijanjikan pengampunan dosa. Ini seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Bara’ bin Azib, sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا
“Tidaklah dua orang Muslim itu bertemu lalu mereka bersalaman melainkan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” [Riwayat Abu Daud (5212) dan al-Tirmidzi (2727), Imam al-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai hasan gharib]

Berjabat tangan atau bersalaman ketika berjumpa itu adalah sunnah hukumnya. Ini sudah menjadi ijma’ dalam kalangan para alim ulama'. Tambahan pula, Ibn Battal pula ada menyebutkan bahawa hukum asal berjabat tangan itu adalah baik dan sangat elok menurut para ulama' umumnya.” [Lihat: Fath al-Bari, 11/55 dan Tuhfah al-Ahwazi, 7/426]

Perbuatan ini juga telah dinaskan oleh kebanyakan para ahli feqah bahawa bersalaman adalah sunnah dengan berdalilkan kepada sejumlah khabar-khabar yang sahih dan juga hasan. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 356/37]

Dalam persoalan di atas, kami dapati sebahagian ulama’ atau Badan Berautoriti dalam fatwa mempunyai pelbagai pendapat. Ada yang menegahnya dan ada yang membenarkannya. Untuk itu, kami bahagikan kepada dua keadaan:

  • Jika tempat tersebut adalah disyaki dijangkiti virus dan orang yang terbabit juga mempunyai potensi positif dijangkiti, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk tidak bersalam kerana mudarat adalah lebih besar. Ini bertepatan dengan mengambil kaedah dan saranan supaya kita berihtiyat (berhati-hati) untuk lari atau menjarakkan diri daripada dirisikokan penyakit tersebut.
  • Jika dalam keadaan biasa, maka berjabat salam seperti nas di atas boleh dilakukan, bahkan ia menjadi satu sunnah yang baik.

Buat masa ini, keadaan di Malaysia sudah sampai ke tahap yang kritikal maka kita dituntut untuk berusaha dengan sebaik mungkin bagi mengelak penularan virus tersebut. Ini kerana, bersalaman merupakan salah satu cara yang boleh menyebabkan virus tersebut semakin menular. Oleh sebab itu, kami berpandangan dengan tidak bersalaman adalah lebih sesuai buat masa ini sebagai jalan ihtiyat dan juga cara atau inisiatif dalam mengekang virus ini terus menular walaupun pada asalnya ia merupakan satu sunnah.

Hal ini disebabkan, terdapat satu riwayat yang sahih daripada Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berkaitan arahan Nabi SAW agar menjauhkan diri daripada orang yang dijangkiti penyakit kusta ini. Ini kerana, penyakit kusta merupakan penyakit yang berjangkit, maka arahan Nabi SAW agar menjauhkan diri tersebut adalah bagi mengekang penularan penyakit tersebut kepada orang atau kawasan yang tidak dijangkiti.

Daripada al-Syarid bin Suwaid R.A berkata:

كَانَ فِي وَفْدِ ثَقِيفٍ رَجُلٌ مَجْذُومٌ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّا قَدْ بَايَعْنَاكَ فَارْجِعْ
“Dalam delegasi daripada Bani Thaqif terdapat seorang lelaki yang terkena penyakit kusta. Maka Rasulullah SAW mengutuskan seorang utusan untuk menyampaikan berita bahawa kepadanya bahawa: “Kami telah menerima bai’ah kamu, maka pulanglah kamu.” [Riwayat Muslim (2231)]

Menurut Imam al-Nawawi di sana terdapat dua hadith yang dilihat terdapat percanggahan dalam berinteraksi dengan orang yang mempunyai penyakit kusta ini. Kebanyakan para ulama' cenderung kepada menghimpunkan di antara dua riwayat tersebut dengan menyatakan arahan Nabi SAW agar menjauhi atau melarikan diri daripada orang yang berpenyakit kusta ini adalah bersifat sunat bagi tujuan berhati-hati dan bukannya bersifat wajib. [Lihat: al-Minhaj, 14/228]

Tambahan pula, selaras dengan arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar meminimumkan sentuhan seperti bersalaman ini kerana virus tersebut mampu tersebar dengan cara tersebut. Oleh sebab itu, kami amat menyokong seruan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) agar bersalaman itu dilakukan dengan cara mengisyaratkan tangan ke dada bagi tujuan mengelakkan persentuhan.

Di samping itu juga, kita digalakkan untuk mengucapkan salam ketika mengisyaratkan tangan ke dada dengan disertakan senyuman. Ini kerana, memberi salam dan melontarkan senyuman merupakan sunnah yang amat dianjurkan oleh Nabi SAW sebagaimana di dalam sabdanya:

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash R.A berkata:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم: أيُّ الإسلامِ خيرٌ؟ قال: تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ
Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: “Islam manakah yang paling baik?” Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal.” [Riwayat al-Bukhari (5767)]

Daripada Abu Zar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا، وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
“Janganlah kamu menganggap remeh apa-apa amalan yang baik walaupun kebaikan itu dengan sekadar menunjukkan muka yang manis (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu.” [Riwayat Muslim (2626)]

Melihat kepada beberapa pertimbangan di atas, maka kami cenderung kepada tidak bersalaman buat masa ini sehingga keadaan kembali seperti sediakala. Akan tetapi, bersalaman boleh dilakukan dengan cara mengisyaratkan tangan ke dada sepertimana yang telah kami jelaskan di atas.

Kami akhiri perbincangan dalam isu ini dengan memetik pandangan Majlis Fatwa Syar’ie UAE, antara lain menyebut: “Wajib mendokong segala usaha untuk mengekang penularan virus dan tidak boleh menyebarkan maklumat yang bukan datang dari maklumat rasmi kerajaan agar keadaan sentiasa stabil dan aman.” [Rujuk: https://www.albayan.ae/across-the-uae/news-and-reports/2020-03-03-1.3793602]

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menadah tangan memohon perlindungan kepada Allah SWT dengan mengucapkan:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta.” [Riwayat Muslim (2709)]

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 3/20/2020

0 comments:

Loading...