Hukum Wasiat Secara Lisan


SOALAN:
Ayah saya ada mewasiatkan sebahagian hartanya tidak melebihi 1/3 kepada saya selaku anak sulung, namun ada berlaku pertikaian dalam kalangan kami sesama ahli waris disebabkan wasiat yang dibuat secara lisan. Maka, adakah wasiat tersebut sah atau perlu ditinggalkan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN:
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah SWT:

﴿مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ﴾
“(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.” [Surah al-Nisa’ (11)]

Melalui ayat ini, Allah SWT telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad SAW:

عَنْ عَلِيٍّ أَنَّهُ قَالَ: إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} [النساء: 12] «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ
Daripada Ali R.A bahawasanya berkata: “Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).” [Riwayat Tirmidzi (2094)]

Namun begitu, Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah SWT mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya. [Lihat: Tafsir al-Munir; 4/276]

Dalam hal wasiat ini, terdapat empat rukun yang perlu diraikan iaitu:

  • Pewasiat
  • Penerima wasiat
  • Perkara yang diwasiatkan
  • Sighah (ucapan)

[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/601-606]

Maka, berbalik kepada persoalan yang diajukan, ada dua perkara yang perlu diteliti di sini, iaitu hukum wasiat secara lisan dan hukum wasiat kepada ahli waris.

1. Berkenaan dengan wasiat secara lisan, perkara ini boleh dilihat pada rukun yang terakhir iaitu rukun sighah (iaitu lafaz ijab dan qabul). Rukun ini merupakan rukun terpenting bagi membuat sesuatu wasiat. Wasiat ini dilakukan secara lisan yang membabitkan ijab (penawaran) dan juga qabul (penerimaan).

Antara lafaz ijab yang jelas bagi wasiat ialah “Aku wasiatkan padanya dengan ini, barang ini menjadi milik kau selepas aku mati” dan sebagainya. Kemudian, ijab juga boleh dilafazkan dalam bentuk kiasan berserta niat seperti “Rumahku ini adalah untuk Zaid” dan bermacam-macam lagi bentuk lafaz.

Namun, dalam hal membuat wasiat dengan tulisan mesti juga disertakan dengan niat kerana tulisan tidak kurang darjatnya dari lafaz dan juga ibarat dalam menerangkan kehendak seseorang. Bahkan tulisan ini lebih kuat dalam perkara yang memerlukan kepada pengukuhan hujah mahupun dalil. Maka, sekiranya pewasiat adalah seorang yang tidak mampu untuk berkata-kata seperti orang bisu dan sebagainya, maka wasiatnya perlu diikat melalui penulisan, dan disyaratkan supaya wasiat tersebut dapat diterima, hendaklah melalui tulisannya yang telah diakui oleh warisnya atau bukti lain yang menyaksikan bahawa dia yang menulisnya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/553-554]

Justeru itu, dalam hal ini, sememangnya sah jika seseorang pewasiat mewasiatkan hartanya dengan cara lisan atau dengan hanya menggunakan lafaz, namun dalam konteks zaman sekarang, dan perlunya kepada pembuktian, maka dokumentasi (sama ada dalam bentuk tulisan dan bukti-bukti lain) amatlah penting bagi membuktikan wasiat dan menentukan ia perlu dilaksanakan atau tidak, berdasarkan kepada pembuktian yang ada.

Ini kerana, sebagai contoh dalam hal wasiat, sekiranya seseorang saudara datang mengatakan bahawa si mati mewasiatkan 1/3 hartanya kepada dirinya, maka dalam hal ini pembuktian amatlah diperlukan, justeru itu, dokumen bertulis memainkan peranan penting sebagai bahan bukti bagi membenarkan wasiat yang dinyatakan.

Dalam konteks undang-undang, jika berlaku pertikaian terhadap wasiat, maka ia perlu dikemukakan di mahkamah, dan setiap dakwaan yang dikemukakan ke mahkamah ini perlulah dibuktikan. Jika benar si mati telah memberi hartanya kepada seseorang, ia perlu dibuktikan samada melalui akuan sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi yang boleh menyokong di antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati (harta tersebut hendaklah difaraidkan).

2. Berkenaan hal wasiat kepada ahli waris. Pada dasarnya, wasiat hanya dibenarkan kepada bukan waris yang berhak. Ini berdasarkan kepada hadith Nabi Muhammad SAW:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ, فلا وصيَّةَ لوارثٍ
“Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris.” [Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)]

Dalam hal ini, hadith di atas jelas menyatakan bahawa wasiat kepada ahli waris adalah tidak dibenarkan. Meskipun begitu, sekiranya kesemua para waris bersetuju dengan wasiat tersebut, maka ia dibenarkan.

Penutup

Kesimpulannya, wasiat secara lisan adalah sah menurut syarak dan boleh dilaksanakan, namun wasiat yang dilakukan secara bertulis adalah lebih baik agar tulisan itu bertindak sebagai bahan pembuktian terhadap wasiat di samping mengelakkan dari berlakunya pertikaian, perbalahan dan juga pergaduhan sesama waris dan juga penerima wasiat, maka sebaiknya perkara ini dielakkan. Meskipun begitu, sekiranya para waris redha dan setuju terhadap wasiat yang dilakukan secara lisan, maka ia adalah sah dan mesti dituruti.

Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar melakukan wasiat dengan didokumentasikan secara rasmi, supaya wasiat ini boleh terlaksana pada suatu hari nanti dengan adanya pembuktian ini. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agama-Nya, menetapkan hati kita, serta memberkati segala amal kebajikan kita.

Wallahua’lam.

Oleh: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media