RTB Terkilan Gantian Tasik Bungkus Terengganu Bakal Selesai


Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 17 Mac - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Gantian Tasik Bungkus di Ibok sedang diusahakan bagi memenuhi keperluan rakyat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, RTB itu menggantikan RTB Terkilan Tasik Bungkus.

"Sekarang ini berjalan kerja-kerja meratakan tanah RTB Pondok Pasir bagi menggantikan RTB Terkilan Tasik Bungkus yang diambil dahulu bagi menjalankan perusahaan perlombongan Kaolin," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan RTB di Ibok di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Zawawi Mohamed ketika ditemui menyatakan rasa syukur beliau di atas perjalanan kerja tersebut.

"Alhamdulillah dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kijal dan Pejabat Tanah Kemaman, hal ini telah meredakan kegelisahan para peserta RTB Tasik Bungkus yang setia menunggu selama 16 tahun.

"Kerja meratakan tanah bagi lot perumahan sebanyak 110 lot ini dijangka siap dalam 45 hari insya-Allah.

"Selebihnya kita mengharapkan kerjasama dari Pejabat Tanah Kemaman bagi menyiapkan secepat mungkin untuk pembahagian lot kepada para peserta," ujar beliau.

Sumber: teganukita.net