Saya akan gunakan masa ini untuk menilai kelemahan pasukan - Nafuzi Zain

Posted on Friday, March 20, 2020 | 3/20/2020



Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain pula menegaskan beliau tetap memantau aktiviti anak buahnya dan sentiasa berhubung untuk memastikan mereka menjaga kesihatan diri dengan sebaiknya selain tidak melakukan sebarang aktiviti luar.

Dalam tempoh dua minggu ini, beliau bersama barisan kejurulatihan lain akan menyediakan program latihan khusus kepada semua pemain yang boleh dilakukan di rumah kerana tidak mahu mereka kembali ke padang dalam keadaan yang tidak cergas bermula bulan hadapan.

“Saya percaya kepada semua pemain saya tidak kira pemain tempatan atau import bahawa mereka tahu menjaga diri masing-masing untuk kekal berada di rumah.

“Ini memang kali pertama kita berdepan situasi sebegini dan saya pula kena memberi arahan dan perancangan menerusi panggilan telefon atau mesej sahaja sepanjang dua minggu ini dan ia bukan mudah sebenarnya.

“Tetapi saya sebagai jurulatih, saya gunakan masa ini untuk menilai semula kelemahan pasukan dan buat analisis perlawanan yang lepas selain sentiasa pantau aktiviti pemain-pemain yang berada di rumah agar momentum mereka tetap terjaga,” jelasnya.

Malaysian Football League (MFL) semalam telah mengeluarkan garis panduan kepada setiap pasukan Liga Malaysia selaras dengan arahan perintah kawalan pergerakan akibat wabak Covid-19 sepertimana yang telah diumumkan oleh pihak Kerajaan Malaysia.

Justeru, semua pasukan dilarang melakukan latihan dan perlawanan persahabatan, manakala pemain import pula tidak dibenarkan sama sekali meninggalkan negara ini dan terakhir sekali adalah agar semua pasukan dapat mengawal pergerakan mereka dengan sebaiknya dalam tempoh dua minggu ini. - VocketFC
Blog, Updated at: 3/20/2020

0 comments:

Loading...